Malaysia Berbangga Dengan Qobin

Jika kita boleh berbangga dengan mencatatkan didalam buku sejarah pembukaan dan pengasasan beberapa negeri seperti negeri Pulau Pinang oleh Kapten Francis Light (1740-1794) yang kemudiannya mengasaskan bandar George Town serta Sir Stamford Raffles sebagai pengasas Singapura pada tahun 1819 yang sebetulnya adalah seorang gabenor di salah sebuah pelabuhan British iaitu di Bengkulu, Sumatera.

Mengapa tidak boleh kita raikan atau mencatatkan dan menyambut wira anak bangsa Melayu Malaysia yang telah berjaya menakluki dan berjaya menamatkan misi penjelajahan ke Titik 90 Darjah Kutub Selatan sejauh 111 kilometer (km) seterusnya mencatatkan namanya sebagai diantara Penjelajah Grand Slam Dunia dan yang pertama untuk rakyat Malaysia.

Seharusnya kita sebagai rakyat Malaysia mengkagumi kehebatan anak muda Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin atau Qobin, bekas pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan dan Diploma Sains Sukan di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, yang sangat meminati sukan lasak dan olahraga yang tidak banyak digemari anak muda seangkatannya.

Kita biasa menemui seorang yang boleh meniru lagak artis dari Korea atau Bolywood, tetapi didalam lapangan sukan lasak yang diceburi oleh Qobin adalah bukan calang-calang orang yang mampu melakukannya dan tidak ramai yang berani atau mahu menirunya.

Mencatatkan namanya didalam senarai mereka yang berjaya menamatkan penjelajahan ke Titik 90 Darjah Kutub Selatan bukanlah satu kejayaan yang mudah kerana dari berbilion manusia yang hidup di muka bumi ini hanya sekitar 60 orang sahaja yang berjaya melakarkan nama mereka didalam sejarah Penjelajah Grand Slam yang bertaraf dunia.

Seperti mana syarat yang telah ditetapkan bagi mereka yang mahu mencatatkan namanya diantara Penjelajah Grand Slam mereka mestilah telah menamatkan pendakian tujuh puncak tertinggi di tujuh benua, berski di Kutub Utara dan berski di Kutub Selatan.

Kesemua cabaran dan syarat yang ditetapkan telah pun berjaya dilakukan oleh Qobin sama ada bersendirian atau pun berkumpulan, Qobin telah berjaya dalam dua misi sebelumnya yang merupakan antara syarat tersebut iaitu menawan tujuh puncak tertinggi dunia di tujuh benua yang telah dilakukannya disekitar tahun 2004 sahingga 2010 dan berski di Kutub Utara pada April 2017 yang lalu.

Kejayaan Qobin didalam misi penjelajahan ke Titik 90 Darjah Kutub Selatan dan diiktiraf sebagai Penjelajah Grand Slam Pertama Negara seharusnya menjadi pembakar semangat kepada anak muda untuk mencontohi semangat juang Qobin membina nama negara bukan menjadi seperti sebilangan mereka yang sering mencemarkan nama negara dengan aksi laku yang membodohkan diri.

Terpahat didalam sejarah pada Jumaat yang lalu (29 Disember 2017) apabila Qobin telah berjaya menempuh segala macam halangan termasuk mendepani suhu sejuk melampau sehingga paras negative 26 darjah celsius dengan mengalas beban seberat hampir 50 kilogram.

Yang nyata ialah Qobin telah menjadi rakyat Asia Tenggara kedua dan umat Islam ketiga serta termuda di dunia yang berjaya menjelajah ke Titik 90 Darjah Kutub Selatan dan pengiktirafan sebagai Penjelajah Grand Slam Negara adalah yang selayaknya buat Qobin kerana tiada rakyat Malaysia sebelum ini yang berjaya melakukan penjelajahan ini.

Jika kita oleh berbangga menyebut Francis Light serta Stamford Raffles sebagai penjajah di kedua pulau di Tanah Melayu mengapa tidak kita berbangga dengan kejayaan Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin yang berjaya meletakkan nama Malaysia diantara yang telah berjaya menjajah Kutub Selatan.

Tahniah buat Saudara Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin @ Qobin.

 

 

 

Post Metro Online

Artikel Berkaitan