Mahathir Akan Halang Pengampunan Anwar

Kuala Lumpur - Tun Dr Mahathir Mohamad akan memastikan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mendapat pengampunan Yang di-Pertuan Agong untuk kekal sebagai Perdana Menteri, sekiranya pakatan pembangkang memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, mendakwa Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PBBM) akan menasihati Yang di-Pertuan Agong bahawa Anwar selaku Ketua Umum PKR tidak boleh diampunkan kerana liwat adalah jenayah berat.

"Dr Mahathir akan pastikan lebih separuh daripada Ahli Parlimen akan menyokongnya kekal sebagai Perdana Menteri, jika ada usaha untuk membawa usul undi tidak percaya terhadapnya di Parlimen.

"Beliau juga boleh menyalahgunakan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016 untuk mengumumkan darurat jika dia merasakan kedudukannya terancam.

"Dr Mahathir ada pengalaman dalam hal ini. Dia pernah menyalahgunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dalam Ops Lalang 1987 apabila kedudukannya terancam," katanya dalam satu kenyataan, malam ini.

Konvensyen pakatan di Shah Alam semalam mengumumkan Dr Mahathir sebagai calon Perdana Menteri jika pembangkang memenangi PRU-14, manakala Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, pula sebagai calon Timbalan Perdana Menteri.

Mohd Puad berkata, Dr Mahathir yang berusia 93 tahun, pernah menjadi diktator selama 22 tahun dan kini dikitar semula menjadi bakal Perdana Menteri oleh musuh ketatnya sendiri.

Katanya, selepas Anwar kekal dalam penjara, Dr Mahathir akan mencari jalan untuk menjadikan anaknya, Datuk Seri Mukhriz sebagai Perdana Menteri kerana beliau tidak akan memimpin negara sehingga usia 100 tahun pada 2025.

"Ini bermakna, cara berfikir Dr Mahathir adalah dia akan berhenti sebagai Perdana Menteri hanya selepas Mukhriz berjaya menjadi Timbalan Perdana Menteri dalam tempoh tujuh tahun mulai hari ini," katanya.

Mohd Puad turut mendakwa ketika mesyuarat pakatan pembangkang untuk membincangkan calon Perdana Menteri semalam, turut berlaku ketegangan di antara Dr Wan Azizah dengan Dr Mahathir.

"Awalnya Dr Wan Azizah berkeras mahu Anwar menjadi Perdana Menteri. Akhirnya dia mengalah dan bersetuju Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri Ke-7, manakala Anwar akan menjadi Perdana Menteri Ke-8, sementara menunggu pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong," katanya.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan