Pengerusi Amanah Johor Gagal

Selepas selesai pembahagian kerusi di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sekali lagi mendominasi agihan kerusi DUN Johor. Ia melibatkan pengagihan kerusi PPBM 18, DAP 14, PKR 12 dan Amanah 12.

Tumpuan pastinya akan terarah sekali lagi kepada Amanah. Kepimpinan Amanah Johor secara terang telah memboikot Konvensyen Pakatan Harapan kerana tidak berpuas hati dengan jumlah 2 kerusi Parlimen untuk mereka di Johor.

Walaubagaimanapun, kepimpinan Amanah di peringkat Pusat telah berjanji kepada seluruh ahli parti Amanah Johor bahawa kekecewaan tersebut bakal terubat dengan peruntukkan kerusi yang lebih besar di peringkat DUN Johor.

Malangnya, sehingga selesai proses pembahagian kerusi di peringkat DUN, Amanah masih lagi kekal sebagai parti yang paling tercorot dalam pengagihan kerusi tersebut. Kerusi milik DAP jauh lebih besar berbanding kerusi mereka.

Jika dilihat, Amanah Johor yang dipimpin oleh Aminolhuda Hassan telah gagal.

Mereka gagal menonjolkan kepada Pakatan Harapan bahawa parti tersebut mampu menjadi parti yang boleh diyakini dan menyumbang kepada kemenangan Pakatan Harapan.

Tambah parah, pengagihan tersebut menggambarkan bahawa usaha Amanah menjadi parti paling lantang menentang kerajaan negeri pimpinan YAB Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin dalam pelbagai isu langsung tidak dihargai.

Keputusan kerusi DUN tersebut memberi tamparan kepada imej Amanah kepada lawan utama iaitu Pas. Pas ketika dalam Pakatan Rakyat pada PRU13 yang lalu telah memperolehi kerusi yang besar dengan 7 kerusi Parlimen serta 31 kerusi DUN di Johor.

Malah hasil pemerhatian kami, akibat daripada jumlah peruntukkan kerusi yang sedikit, kebanyakan calon Amanah yang bertanding atas tiket Pas dahulu besar kemungkinan tidak dapat menjadi calon pada PRU14 akibat hilang kerusi kepada parti konsensus yang lain.

Sebagai contoh, Setiausaha Organisasi Amanah, Suhaizan Kayat telah melakukan gerak kerja dan turun padang bagi kawasan Puteri Wangsa.

Kini beliau sudah dilihat tidak lagi aktif bekerja kerana kerusi tersebut telah diberikan kepada PPBM.

Begitu juga kerusi di Bukit Permai yang sinonim kepada Mazlan Aliman yang kini dimiliki oleh PPBM.

Jika dilihat keadaan ini sudah tentu kerana kegagalan kepimpinan Aminolhuda dan kepimpinan Amanah Johor yang gagal meyakinkan Pakatan Harapan bahawa Amanah mampu menggalas tugas besar di Johor.

Mereka dilihat lemah dan hanya menuruti segala keputusan tanpa membawa suara akar umbi Amanah Johor.

Situasi pasti berbeza jika kerusi Parit Yaani dan Nusajaya milik Aminolhuda serta Salahudin Ayub diambil oleh PPBM. Pasti mereka akan lantang bersuara membantah..

Kesimpulannya, keputusan tersebut pastinya telah mengecewakan ramai ahli Amanah Johor. Mereka inilah yang telah bertungkus lumus dan berkorban segalanya demi Amanah.

Tetapi tindakan tidak bertanggungjawab kepimpinan Amanah Johor dalam membela parti tersebut jelas satu kegagalan yang jelas.

Oleh - Fikri Allaudin
Persatuan Pemikir Muda Johor

Post Metro Online

Artikel Berkaitan