Transformasi Perkhidmatan Awam Utama Kebajikan Rakyat

Kuala Lumpur - Datuk Seri Najib Razak berkata dasar Transformasi Perkhidmatan Awam diperkenalkan bagi memudahkan urusan seharian adalah bukti kesungguhan kerajaan dalam meletakkan kebajikan dan keselesaan rakyat sebagai keutamaan.

Perdana Menteri berkata, dasar itu bertujuan menambahbaik perkhidmatan awam sedia ada, antaranya perkhidmatan memperbaharui pasport yang dulunya perlu mengambil masa sehingga 10 hari bekerja, kini cuma memerlukan satu atau dua jam sahaja.

"Malah kaunter Imigresen di Pusat Transformasi Bandar (UTC) juga beroperasi setiap hujung minggu kecuali cuti umum. Bermula 2016, permohonan memperbaharui pasport juga boleh dijalankan secara dalam talian.

"Begitu juga permohonan MyKid dan MyKad yang dahulunya tempoh menunggu permohonan adalah sehingga 30 hari berbanding kini di mana permohonan baharu hanya mengambil masa 24 jam sahaja.

"Kaunter Jabatan Perdana Menteri (JPM) di UTC dan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) juga dibuka pada hujung minggu sehingga malam kecuali cuti umum. Ini bukan sahaja memudahkan orang ramai, malah mengelakkan kesesakan pada waktu puncak" katanya menerusi entri terbaharu di blog rasminya najibrazak.com, hari ini.

Perdana Menteri berkata, satu lagi aspek penting dalam kehidupan rakyat adalah rawatan kesihatan yang kini sudah ditambah baik oleh kerajaan.

Beliau berkata, jika dahulu penduduk di kawasan pedalaman terpaksa berjalan jauh untuk mendapatkan rawatan di klinik kesihatan atau hospital, kini Klinik Bergerak 1Malaysia sanggup meredah hutan dan sungai semata-mata untuk memberi rawatan kepada orang ramai.

"Inilah yang saya katakan Transformasi Perkhidmatan Awam iaitu usaha menyenangkan urusan orang ramai. Bukti kerajaan sentiasa meletakkan kebajikan dan keselesaan rakyat sebagai keutamaan," katanya.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan