Jangan Pertikai Tindakan SPRM

Putrajaya - Tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menahan pemimpin politik tertentu bagi membantu siasatan dalam sesuatu kes, tidak perlu dipertikaikan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menemplak dakwaan Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal kononnya Putrajaya menggunakan 'pendakwaan berpilih' yang bermotifkan politik.

"Saya tidak tahu (sama ada SPRM pilih bulu), itu kena tanya SPRM, mereka hanya buat kerja mereka, kalau salah, salahlah, janganlah nak mempertikaikan tugas SPRM, mereka tahu apa yang dibuat.

"Kita sokong apa yang dilakukan SPRM, kalau mereka ini dipanggil untuk beri keterangan dan ditahan, itu hak SPRM," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan sumbangan RM1 juta oleh Yayasan Mah Sing kepada Program Baiti Jannati@Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas dakwaan Shafie baru- baru ini kononnya penahan pemimpin kanan sayap Pemuda Parti Warisan Sabah dan dua lagi individu membabitkan kes seleweng dana RM1.5 bilion untuk projek luar bandar di Sabah oleh SPRM adalah 'pendakwaan berpilih' oleh Putrajaya untuk menjatuhkan pesaing politik.

Dalam pada itu, mengulas mengenai larangan penganjuran pesta arak 'Better Beer Festival 2017' (BBF17), Tengku Adnan berkata, penolakan permohonan penganjuran oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bukan atas sebab politik, tetapi kerana peraturan yang perlu dipatuhi semua pihak.

"Untuk minum arak di pub, hotel atau pun di rumah itu tak jadi masalah, tapi untuk buat secara terbuka , saya agak risau mengenai soal keselamatan, bila tengah minum, bimbang ada orang yang membaling sesuatu, berlaku pergaduhan, ini sebabnya kita tidak benarkan pesta ini dijalankan di tempat terbuka.

"Mereka perlu mematuhi peraturan dan undang-undang ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT), kita tidak benarkan minum di tempat terbuka, di taman, di kawasan yang tidak dibenarkan untuk minum.

"Malah di negara tertentu seperti di Australia, mereka juga tidak benarkan minum di kaki lima atau di luar, sebaliknya perlu minum di dalam pub atau kelab.

"Semua negara ada peraturan yang ditetapkan, jadi kenapa tidak boleh patuhi peraturan yang sudah ditetapkan PBT ini, adakah anda cuba mencabar pihak ini?. Kita juga bukan melaksanakan larangan ini atas sebab politik, tapi ini peraturan yang perlu dipatuhi semua," katanya.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan