Pertahan Imej Islam Sederhana

Kuala Lumpur - Raja-Raja Melayu menyeru imej Islam sebagai agama yang menggalakkan penganutnya bersikap toleran, sederhana dan inklusif wajib dipertahankan daripada dicemari dengan tindakan keterlaluan serta boleh memisahkan rakyat.

Penyimpan Mohon Besar Raja-raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad, berkata Raja-Raja Melayu bimbang selepas timbul tindakan individu tertentu bersifat keterlaluan yang dikhuatiri boleh menjejaskan keharmonian hubungan antara rakyat pelbagai kaum dan agama di negara ini.

"Raja-Raja Melayu memandang berat isu perpaduan dan hubungan harmoni dalam kalangan rakyat berbilang agama dan kaum di negara ini. Rakyat wajib memahami dan menghormati prinsip utama yang terkandung dalam Perlembagaan.

"Raja-Raja Melayu berpendirian isu keharmonian membawa implikasi yang lebih mendalam sekiranya sesuatu tindakan itu bersabit dengan dan dilakukan atas nama Islam.

"Raja-Raja Melayu amat menghargai pendirian tegas dizahirkan Sultan Johor mengenai kes 'dobi untuk Muslim saja' di Johor, begitu juga dengan pendirian dizahirkan Raja Muda Perlis dalam kes yang serupa di Perlis.

"Pendirian baginda berdua mencerminkan keprihatinan mengenai pentingnya umat Islam mengamalkan sikap toleran, sederhana dan inklusif dalam negara yang berbilang kaum dan agama," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Syed Danial berkata, perpaduan rakyat berbilang kaum dan agama ialah komponen penting dalam memastikan kestabilan Malaysia dan selepas 60 tahun mencapai kemerdekaan, amat penting rakyat mengamalkan nilai masyarakat dan bernegara berpandukan prinsip terkandung dalam Perlembagaan dan Rukun Negara.

"Rukun Negara harus menjadi kompas pedoman semua pihak sama pemimpin, pentadbir dan rakyat keseluruhannya," katanya.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan