Pusat Pertimbang RM1b Untuk Tebatan Banjir Pulau Pinang

Tasek Gelugor - Kerajaan Persekutuan sedia mempertimbangkan peruntukan RM1 bilion yang diperlukan untuk melaksanakan projek tebatan banjir di Pulau Pinang, kata Datuk Seri Najib Razak

Perdana Menteri berkata, peruntukan itu membabitkan 13 projek berskala besar dan kecil, yang dikenal pasti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk mengatasi masalah banjir seperti yang melanda ketika ini.

"Setakat ini, Kerajaan Persekutuan sudah lulus RM150 juta. Kita sanggup timbang peruntukan tambahan mengikut kemampuan kewangan.

"Saya minta supaya satu mesyuarat diadakan di antara Kerajaan Pusat dan negeri, untuk kita tentukan bagaimana projek tebatan banjir boleh dilaksanakan selanjutnya supaya masalah ni dapat dihindari pada masa akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas melawat pusat pemindahan banjir di Sekolah Agama Rakyat Ar-Ridwan di sini, yang menempatkan kira-kira 200 mangsa.

Pada majlis sama, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, yang juga Yang Dipertua Pandu Puteri, turut menyampaikan sumbangan RM50,000 kepada mangsa banjir dan RM60,000 kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) Pulau Pinang.

Sebelum ini RM150 juta diluluskan Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Fasa Ketiga Lembangan Sungai Pinang, membabitkan sembilan sungai antara Ayer Hitam ke Sungai Pinang di Jelutong, dekat sini.

Ditanya mengenai 13 projek dimaksudkan itu, Perdana Menteri berkata, ia akan dilaksanakan secara berperingkat dan membabitkan tempoh jangka masa panjang.

"Ia akan dilakukan secara berperingkat dan kalau pergi hari ini pun, projek itu bukan boleh siap esok hari.

"Apa yang berlaku di luar jangkaan...dengan hujan yang biasanya datang dalam tempoh sebulan setengah tetapi melanda dalam sehari, air yang turun dari Kedah dan angin kencang, ini tiga elemen luar jangka datang dalam satu masa.

"Apa pun, kita serius melaksanakan tindakan dan sebarang peruntukan tambahan akan kita bincang kemudian membabitkan Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri kerana keutamaan kita adalah kebajikan rakyat," katanya.

Mengenai bantuan kepada mangsa, Perdana Menteri berkata, kerjasama antara kerajaan negeri dan Persekutuan sangat baik dan ini adalah sikap dan contoh yang terbaik.

"Apabila Kelantan naik air kita pun bantu, maka Pulau Pinang pun kita bantu juga," katanya.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan