Surau, Masjid Lindungi Mangsa Banjir Wajar Dipuji

Kuala Lumpur - Tindakan pengurusan surau dan masjid yang membuka pintu sebagai tempat berlindung kepada mangsa banjir harus dipuji, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, sikap prihatin dengan mengetepikan perbezaan agama itu juga adalah tepat, sekali gus melambangkan semangat 1Malaysia yang patut dicontohi dalam kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini.

"Tindakan surau dan masjid buka pintu bagi mangsa banjir tak kira agama tepat, wajar dan harus dipuji. Semangat 1Malaysia Negaraku yang patut dicontohi," katanya menerusi entri di akaun Twitter rasminya, @NajibRazak hari ini.

Di sebalik kritikan dan nada sinis disuarakan segelintir pihak susulan penyebaran gambar masyarakat Cina dan India berlindung di surau, Najib berkata, Islam mengajar umatnya untuk sentiasa berkasih sayang.

"Saya teringat kisah Rasulullah SAW memberi perlindungan kepada semua seperti yang tertera dalam Surah At-Taubah.

"Dan jika seorang di antara orang Musyrikin itu meminta perlindungan kepadamu, maka lindungilah ia," katanya memetik ayat keenam surah berkenaan yang terkandung dalam al-Quran.

Sementara itu, toleransi ahli kariah Surau Taman Free School, Pulau Pinang mendapat pujian pelbagai pihak terutama netizen di media sosial susulan keterbukaan mereka memberi penempatan dan perlindungan terhadap mangsa banjir yang terdiri daripada sekumpulan lelaki dan perempuan Cina.

Tidak terkecuali memberi reaksi positif adalah netizen berketurunan Cina yang merasakan keterbukaan dan toleransi masyarakat Melayu beragama Islam menggambarkan semangat sebenar perpaduan 1Malaysia.

Berdasarkan maklumbalas netizen di Facebook Berita Harian Online, ramai masyarakat Cina terharu selain mengucapkan terima kasih kepada ahli kariah surau berkenaan kerana sanggup membantu dan memberi perlindungan kepada masyarakat bukan Islam untuk berteduh di surau berkenaan.

Seorang netizen, Sook Wan, berkata: "Inilah bangsa Malaysia yang berwibawa dan semangat kemasyarakatan negara. Tahniah dan terima kasih banyak di atas perlindungan kaum-kaum Cina dan India di Pulau Pinang."

Chan Boon Thian pula terharu dengan keprihatinan bilal Surau Taman Free School, Sapno Tukijo, terhadap nasib mangsa banjir meskipun berbeza latar belakang.

"Amat terharu melihat tindakan pak cik (Sapno)... Mengutamakan semangat perpaduan dan keselamatan tanpa mengira komen atau pandangan segelintir orang yang akan mengutuk.

"Tabik kepada sahabat... Salam perpaduan dan Salam 1Malaysia," katanya.

Carele Nicole pula berkata bencana yang berlaku menyatukan semua kaum.

"Syukur pada tuhan kerana mempersatukan kita semua... Tolong menolong dan bantu-membantu sesama insan walaupun bukan seagama... Ini baru dikatakan 1Malaysia," katanya.

Berita mengenai mangsa banjir sekumpulan lelaki dan perempuan Cina yang mendapat perlindungan di surau berkenaan yang tular di media sosial mendapat maklum balas positif daripada netizen berketurunan India, Karthi Vaseegaran yang berkata: "Ini baru 1Malaysia... Inilah kita pun mahu."

Post Metro Online

Artikel Berkaitan