Dasar Sosial Ekonomi Sensitif Dipertahankan

Danang, Vietnam - Malaysia akan terus mempertahankan dasar sosial ekonomi yang sensitif, termasuk keistimewaan Bumiputera dan soal kesihatan awam, walaupun sudah menyertai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) dengan 10 negara lain, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, kini Malaysia mempunyai komitmen moral untuk memenuhi keperluan TPP dan pada masa yang sama akan mempertahankan dasar sosial yang diamalkan sekarang.

"Kita ada komitmen moral untuk menyelesaikan isu bagi memenuhi kehendak TPP dan memeterai TPP-11," katanya pada sidang media dengan wartawan Malaysia pada hari terakhir Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), di sini, hari ini.

Ketika ini, Menteri-Menteri Ekonomi TPP sudah bersetuju ke atas elemen asas Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk TPP (CPTPP) , selain bersetuju menggantung 20 perkara yang dimasukkan dalam TPP-12 sebelum ini.

Bagaimanapun, dua perkara lain bagi Malaysia iaitu membabitkan isu syarikat milik kerajaan dan peruntukan mengenai elektronik dalam perkhidmatan kewangan masih dalam rundingan.

Terdahulu, pada sidang medianya lewat malam kelmarin, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, TPP masih belum berkubur walaupun tidak mendapat konsensus dalam kalangan ketua-ketua kerajaan yang menganggotainya .

Beliau berkata, ada dalam kalangan daripada 11 negara yang menganggotai TPP memerlukan banyak masa untuk mempersetujuinya

"Walaupun tidak mendapat konsensus itu tidak bererti TPP sudah terkubur. Negara anggota perlukan masa untuk mencapai konsensus," katanya.

Beliau diminta mengulas mengenai khabar 'kegagalan' TPP dimeterai di Sidang Kemuncak Ketua-Ketua Kerajaan APEC berikutan tindakan Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau, tidak hadir mesyuarat ketua-ketua kerajaan TPP semalam.

Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan TPP sepatutnya mengeluarkan deklarasi mengenai persetujuan umum untuk meneruskan TPP tanpa Amerika Syarikat.

Berikutan ketiadaan Trudeau, 10 ketua kerajaan TPP terpaksa menunggu hampir sejam. Pengerusi mesyuarat, Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe cuba menyelesaikannya dengan Trudeau tetapi gagal dan akhirnya beliau mengumumkan perjanjian itu tidak dapat ditamatkan dan akan mengadakan mesyuarat lain pada masa akan datang.

"Ya, ketiadaan beliau di mesyuarat agak memeranjatkan ketua-ketua kerajaan lain," kata Najib sambil menambah mesyuarat perlu mendapat dua aspek konsensus iaitu substantif dan penerimaan politik sebelum mencapai persetujuan bersama.

"Dia (Trudeau) ada isu politik domestik yang perlu dihadapi dan tangani. Saya percaya keinginan beliau ialah untuk menyertai TPP tetapi tidak mahu ambil risiko penentangan pengundi mereka dalam soal TPP ini," katanya.

Najib berkata, Kanada perlu diberi masa beberapa bulan untuk menyelesaikan soal dalamannya, walaupun tiada tempoh masa secara spesifik ditetapkan

Katanya, sebelum itu tiada tanda-tanda akan timbul masalah tetapi pada saat akhir perkara itu (ketiadaan Trudeau) berlaku.

Beliau berkata, kebanyakan ketua-ketua kerajaan TPP berasakan ia lebih bersifat politik substantif yang perlu diselesaikan Trudeau di negaranya.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan