KP1M Terus Misi Pasca Banjir Di Kedah, PP

Sungai Petani - Kelab Putra 1Malaysia (KP1M) akan meneruskan misi pengagihan bantuan banjir kepada mangsa bencana itu di Pulau Pinang, dengan beberapa lagi lokasi dikenal pasti khususnya di sekitar Kepala Batas dan Jelutong di negeri berkenaan.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, berkata pengagihan bantuan ke semua lokasi terbabit adalah berdasarkan kepada permintaan untuk membantu mangsa terjejas akibat banjir, selepas misi sama digerakkan ke 13 kawasan Parlimen di Pulau Pinang.

"Sehingga kini 10,000 keluarga di 13 kawasan Parlimen yang terjejas akibat banjir di Pulau Pinang sudah dibantu dan kerajaan akan terus menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir tanpa mengira perbezaan fahaman politik.

"Kita masih terima permintaan untuk membantu mangsa banjir di Pulau Pinang seperti di Kepala Batas, Jelutong dan beberapa kawasan lain....jadi usaha ini akan berterusan untuk bantu rakyat Malaysia dalam konteks pasca banjir dan inilah yang kita uruskan sepertimana arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan kepada 200 mangsa banjir di kawasan Parlimen Merbok di Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Dawai di sini, hari ini.

Selain 200 penerima hari ini, baki 749 keluarga di Parlimen Merbok, diikuti 2,000 keluarga di Sungai Petani dan 700 keluarga di Jerai akan menerima bantuan secara berperingkat selewat-lewatnya Januari depan, manakala mangsa di Parlimen Kulim dan Baling sudah menerima bantuan masing-masing sebelum ini.

Mengenai bantuan di Kedah, katanya pihaknya akan memastikan lebih 3,000 mangsa banjir di semua lokasi terjejas bencana itu di seluruh negeri ini menerima bantuan sewajarnya dalam tempoh terdekat.

Beliau berkata, semua mangsa bagaimanapun diminta bersabar seketika kerana proses pengagihan sedang berjalan dan ia bergantung kepada stok bekalan, sedangkan skala banjir yang melanda termasuk di Pulau Pinang disifatkan agak besar.

"Untuk Kedah, tiga kawasan Parlimen iaitu Merbok, Jerai, dan Sungai Petani meminta bantuan bagi mendapatkan bantuan kepada kira-kira 3,649 keluarga yang terjejas dalam banjir.

"Setakat ini 600 keluarga sudah menerima bantuan di Kedah dan bantuan akan disusuli secara berperingkat selewat-lewatnya Januari depan," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Dawai, Datuk Tajul Urus Mat Zain, berkata setiap keluarga mangsa banjir hari ini menerima bantuan seperti tilam, bantal, set periuk dan keperluan asas berjumlah keseluruhan RM500 disalurkan melalui KP1M.

"Sebanyak 1,400 keluarga terjejas dalam banjir di kawasan Parlimen Tanjung Dawai, bagaimanapun 949 keluarga yang menerima bantuan kali ini memandangkan mereka antara yang terjejas teruk dalam kejadian banjir yang berlaku," katanya.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan