'Cukup-Cukuplah DAP Rosakkan Pulau Pinang'

Kuala Lumpur - GERAKAN menyulam tekad merampas semula Pulau Pinang daripada genggaman DAP yang disifatkan sebagai perosak 'mutiara' negeri berkenaan.

Presiden GERAKAN, Datuk Seri Mah Siew Keong, berkata sepanjang hampir 10 tahun Pulau Pinang diterajui DAP, parti berkenaan masih menuding jari kepada bekas Ketua Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, kononnya semua masalah di negeri terbabit berpunca daripada kepemimpinan terdahulu.

Siew Keong yang menempelak pendirian murahan itu berkata, kepemimpinan DAP di Pulau Pinang sehingga kini masih bernada pembangkang yang sibuk mempolitikkan setiap isu di negeri terbabit.

"Kerajaan CAT (Cekap, Telus dan Amanah) adalah mimpi di siang hari kerana DAP gagal dalam pembangunan terancang, perumahan kos rendah, alam sekitar dan memastikan Pulau Pinang ditadbir dengan penuh bertanggungjawab.

"Sudah sembilan tahun, masih Koh Tsu Koon yang salah. Hey, anda pemerintah negeri, bukan pembangkang. Jalankan tanggungjawab, jangan asyik kritik saja.

"Ketika kepemimpinan Tsu Koon, beliau hanya meluluskan empat projek di Tanjung Bunga berbanding DAP yang memberi 'lampu hijau' terhadap projek di kawasan terbabit 10 kali ganda.

"Mari kita kembalikan mutiara Pulau Pinang yang kini dipenuhi linangan air mata menerusi kebangkitan GERAKAN," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Persidangan Perwakilan Nasional Ke-46 GERAKAN, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan barisan kepemimpinan parti komponen BN.

Siew Keong berkata, GERAKAN bakal melakar kejutan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) walaupun pakatan pembangkang sering melabelkan parti berkenaan sebagai picisan dalam BN.

"(Mereka kata) GERAKAN parti nyamuk, tapi sebenarnya pembangkang yang nyanyuk. Dulu 'berbunuh', sekarang berasmara... inilah peliknya antara Lim Kit Siang dan Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Mereka ini tin kosong. Kalau kita jumlahkan umur tiga pemimpin tertinggi pakatan pembangkang, 'suara' yang cuba ditunjukkan kepada masyarakat datang daripada trio 227 tahun.

"Inikah nafas dan gagasan yang cuba kita berikan kepada generasi akan datang?" katanya.

Siew Keong berkata, rekod menunjukkan Kit Siang bertanding di lapan kerusi Parlimen dan tujuh Dewan Undangan Negeri (DUN) berbeza sepanjang 50 tahun bergelumang dalam dunia politik.

Pembawaan dalam kerjaya politik itu, katanya, tidak melambangkan kesetiaan Kit Siang kerana sering melompat di pelbagai tempat bagi mengukuhkan kedudukannya dan kepentingan peribadi.

"Pemimpin pakatan pembangkang ini berbeza dengan BN kerana mereka ibarat pelancong politik yang hanya ada di kawasan secara bermusim," katanya.

Selain itu, katanya, pakatan pembangkang masih menyebarkan dakyah, kononnya kerajaan yang diterajui Datuk Seri Najib Razak bersikap 'kowtow' atau menyembah China dengan menjual kedaulatan negara ketika kunjungan Perdana Menteri ke republik berkenaan.

Katanya, pembohongan bersiri daripada lidah pembangkang itu bukan satu kejutan kerana mereka cenderung memberi persepsi negatif kepada masyarakat dunia bahawa Malaysia adalah negara gagal.

"Rakyat harus sedar. Jangan jadi seperti pak pandir, menang sorak tapi kampung tergadai kerana kita sewajarnya bijak mencatur perjalanan politik untuk membawa Malaysia ke persada antarabangsa.

"Kita mahukan politik berteraskan budaya matang, namun ini tidak mungkin dicapai jika Malaysia mempunyai pembangkang yang destruktif (membinasa), bukannya konstruktif (membina)" katanya.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan