Rohingya: Myanmar Mula Terima Desakan Malaysia

Manila - Perjuangan Malaysia untuk membantu krisis Rohingya di Rakhine mula membuahkan hasil apabila Myanmar memberi komitmen awal yang agak positif di Sidang Kemuncak ASEAN ke-31 di sini hari ini.

Isu itu dibangkitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika sidang pleno yang turut disokong oleh Indonesia, manakala Kaunselor Negara Myanmar, Aung San Suu Kyi hadir sama.

"Bila saya bangkit isu Rohingya ini, Suu Kyi memberi respons yang katanya, kerajaan Myanmar sedang merundingkan perjanjian persefahaman (MoU) dengan kerajaan Bangladesh untuk menentukan pengembalian pelarian balik ke Rakhine. Dia kata MoU ini akan ditandatangani dalam sedikit masa lagi.

"Kedua, dia kata dia akan beri kerjasama untuk memberi peluang bantuan kemanusiaan kepada orang Rohingya. Ketiga, dia sebut mengenai perlunya untuk mencapai penyelesaian jangka panjang berdasarkan kepada kepercayaan dan harmoni yang katanya tidak boleh berlaku dalam sekelip mata, akan memakan masa tetapi perlu diusahakan.

"Saya terima dengan baik apa yang dinyatakan Suu Kyi. Bagaimanapun kita nak tengok jugalah soal MoU ini, sama ada ada syarat yang munasabah atau syarat yang terlalu ketat, menyebabkan dari segi realitinya nanti dia tidak akan membenarkan begitu ramai balik ke Rakhine," katanya kepada wartawan Malaysia di sini malam ini.

Tidak pasti sama ada 10 pemimpin ASEAN sebulat suara mengenai bagaimana bentuk pendirian terhadap isu penindasan etnik Rohingya di wilayah Rakhine itu, sehingga memaksa lebih 600,000 penduduk Muslim Rohingya melarikan diri ke Bangladesh, apabila memuktamadkan kenyataan bersama esok.

Najib bagaimanapun berkata, ia satu perkembangan positif dan ini juga bermakna perjuangan Malaysia setakat ini berhasil berdasarkan maklum balas positif pemimpin Myanmar itu.

Katanya, ketika sidang ASEAN di sini April lalu Suu Kyi langsung tidak menyebut mengenai Rohingya tetapi kali ini, dia memberi sesuatu pendirian dan jaminan yang lebih jelas dan positif.

"Saya nak kata selesai sepenuhnya, saya tak berani lagi. Kita nak tengok selepas ini terutama butiran MoU, " katanya.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan