Pemimpin ASEAN Dijangka Tandatangani Deklarasi Pekerja Migran

Manila - Pemimpin ASEAN dijangka menandatangani Konsensus ASEAN bagi Perlindungan dan Penggalakan Hak Pekerja Migran, pada hari terakhir Sidang Kemuncaknya petang ini.

Ia dokumen bersejarah yang akan memperteguhkan lagi perlindungan sosial, akses kepada keadilan, layanan adil dan berperikemanusiaan, serta akses kepada perkhidmatan kesihatan bagi pekerja migran di Asia Tenggara.

Ini bermakna, mana-mana pekerja migran dari negara anggota, akan diberi pelindungan sewajarnya tetapi tertakluk kepada undang-undang di sesebuah negara.

Setiausaha Buruh Filipina, Silvestre H Bello, berkata langkah ASEAN untuk menandatangani deklarasi itu akan memberi faedah kepada 212,000 pekerja warganegaranya.

Katanya, majoriti pekerja Filipina bekerja di Singapura dan Malaysia.

Oleh itu, kata beliau, konsensus ASEAN untuk mencegah salah guna, ekploitasi dan keganasan terhadap pekerja migran.

"Dalam kes di mana pekerja migran Filipina dipenjara, mereka akan mempunyai hak, tidak kurang juga seperti hak pekerja tempatan. Mereka berhak memfailkan rasa tidak puas hati dengan pihak berkuasa di negara tempat mereka bekerja," katanya di sini hari ini.

Setelah sedekad menandatangani Deklarasi Cebu mengenai Perlindungan dan Penggalakan Hak Pekerja Migran, pemimpin ASEAN bersedia untuk menyetujui dan menandatangani deklarasi itu petang ini.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan