Malaysia, ASEAN Mahu Korea Utara Lucut Senjata Nuklear

Manila - Malaysia dan pemimpin ASEAN hari ini melahirkan kebimbangan terhadap situasi di Semenanjung Korea.

Malah 10 pemimpin ASEAN pada Sidang Kemuncak ASEAN-Republik Korea ke-19 turut menggesa Pyongyang untuk melucutkan program senjata nuklear sepenuhnya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dalam satu kenyataan di sini hari ini, berkata pemimpin ASEAN juga mahu Korea Utara kembali semula ke meja rundingan bagi memastikan keamanan dan kestabilan di rantau ini.

Pyongyang pimpinan Kim Jong-un mencetuskan kebimbangan global sejak kebelakangan ini dengan melakukan ujian nuklear keenam dan pelancaran peluru berpandu yang boleh sampai di Amerika Syarikat.

Najib berkata pemimpin ASEAN turut mengalu-alukan kehadiran Presiden Republik Korea, Moon Jae-in yang buat pertama kalinya menghadiri sidang itu sejak dilantik menjadi Presiden Mei lalu.

"Pemimpin ASEAN turut menyambut baik usaha Korea Selatan dalam merapatkan jurang budaya di antara ASEAN dan negara itu dengan pembukaan ASEAN Cultural House di Busan pada September 2017.

"Pemimpin ASEAN juga menyentuh mengenai potensi untuk meningkatkan integrasi ekonomi ASEAN-Republik Korea setelah perjanjian perdagangan bebas antara kedua-dua pihak dapat dimuktamadkan," katanya.

Menurut Perdana Menteri, kedua-dua pihak juga membincangkan kerjasama ASEAN-Republik Korea dalam perkara sosio-budaya, khusus kepada program pendidikan, belia dan kesalinghubungan manusia.

Beliau berkata, sidang kemuncak itu menghasilkan dokumen berikut:

- Kenyataan Pengerusi mengenai Sidang Kemuncak ASEAN-Republik Ke-19

- Laporan Kemajuan mengenai Pelaksanaan Pelan Tindakan Bersama ASEAN-Republik Korea mengenai Perkongsian Strategik untuk Keamanan dan Kemakmuran (2016-2020).

Post Metro Online

Artikel Berkaitan