Senarai Hitam Kontraktor Sambil Lewa

Kuching - Mana-mana kontraktor didapati bersikap sambil lewa dalam melaksanakan projek pembangunan Kementerian Pertahanan, khususnya Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bakal berdepan tindakan disenarai hitam.

Itu amaran tegas dikeluarkan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Hussein, selepas kecewa dengan kelewatan beberapa projek pembangunan dilaksanakan kementerian terbabit yang dikenal pasti berpunca dari sikap sambil lewa kontraktor dilantik.

Katanya, beliau tidak sesekali berkompromi dalam isu berkenaan, lebih-lebih lagi membabitkan soal kebajikan pegawai dan anggota tentera, termasuk keluarga mereka, selain golongan veteran.

"Dalam konteks ini, semua pihak berkepentingan seperti kontraktor dan agensi berkaitan diingatkan supaya melunaskan tanggungjawab diamanahkan, terutama membabitkan aspek kebajikan warga tentera, termasuk keluarga dan veteran.

"Kita mahu memastikan segala inisiatif tersebut dapat dilaksanakan mengikut perancangan ditetapkan bagi kesejahteraan dan keselesaan warga tentera," katanya selepas melakukan lawatan mengejut ke Kem Penrissen, di sini hari ini.

Turut mengiringinya Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi dan Panglima Medan Timur, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Zaki Mokhtar.

Hishamuddin berkata, lawatan mengejut itu, yang juga inisiatif di bawah Jelajah Perkasa Perwira, seperti itu akan lebih kerap dilakukannya bagi meninjau perkembangan pembinaan kemudahan baharu dan menaiktaraf sedia ada, selain menilai kesiapsiagaan aset ATM.

"Melalui lawatan seperti ini, kita mahu segala inisiatif dan projek dirancang di seluruh negara dapat dilaksanakan mengikut perancangan ditetapkan," katanya

Hishamuddin sebelum itu, melihat sendiri status projek pembinaan Poliklinik Kem Penrissen yang didapati mengalami kelewatan kira-kira tiga ke empat bulan dari tempoh asal ditetapkan.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan