Komuniti Perlu Diberi Kefahaman Urus Banjir

Kuala Lumpur - Kerajaan dalam proses melantik ketua pengurusan bencana di peringkat kampung dan kawasan perumahan sebagai persediaan memperkukuhkan prosedur operasi standard (SOP) ketika berlaku banjir.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim, berkata langkah itu bagi memastikan pengurusan mangsa banjir dapat dibuat dengan lebih cepat dan menyeluruh.

Beliau akui ketika ini, berlaku beberapa kelemahan mengenai pengurusan aset ketika bencana menyebabkan sesetengah kawasan menghadapi kesulitan dalam mengendalikan mangsa bah itu.

"Menguruskan bencana bukan SOP yang tetap tapi lakukan perkara yang lebih mudah. Contohnya apabila berlaku banjir, ketua di peringkat komuniti boleh menggerakkan urusan banjir sendiri.

"Maknanya, di peringkat komuniti ini mereka sendiri uruskan, sekarang ini kita sudah ada Skim Rondaan Sukarela (SRS) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK). Semua ini adalah orang yang boleh menguruskan banjir," katanya pada sidang media di bangunan Parlimen, hari ini.

Beliau menjelaskan, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) ketika ini hanya bertindak sebagai pemudah cara dalam mengendalikan urusan penempatan dan mangsa banjir.

Sebaiknya, kata beliau komuniti setempat seharusnya tahu atau memahami SOP dalam pengurusan bencana seperti banjir bagi mengelakkan masalah berbangkit.

"Contohnya dalam satu kampung, mesti ada kedai (runcit). Jadi mereka (ketua komuniti) boleh ambil bekalan di sana, kemudian proses seterusnya (pembayaran) akan kita uruskan.

"Ketua komuniti ini juga perlu mengadakan mesyuarat setiap masa, disamping mengenalpasti aset-aset yang ada di kawasan mereka. Ini bagi mengurangkan kebergantungan aset sedia ada kerajaan yang biasanya akan tiba lewat disebabkan kesukaran untuk masuk ke satu-satu kawasan itu," katanya.

Shahidan berkata, ketika ini juga, aset menyelamat yang dimiliki semua agensi mencukupi untuk menguruskan dua juta mangsa banjir di seluruh negara.

"Kalau ada masalah aset, jawatankuasa bencana di peringkat daerah mesti memastikan aset sedia ada lengkap dan boleh berfungsi dengan baik.

"Jabatan Bomba dan Jabatan Perdana Menteri mesti kenalpasti aset yang dimiliki pihak swasta seperti persatuan nelayan atau badan bukan kerajaan yang ada khidmat pacuan empat roda," katanya.

Sementara itu, Shahidan berkata, sebanyak 20,000 barangan keperluan harian seperti tilam dan bantal akan diserahkan kepada mangsa banjir di Pulau Pinang dalam masa terdekat.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan