'Nak Menggalak, Bukan Menyinggung'

Ayer Keroh - Kerajaan Melaka tidak menghalang mana-mana pihak meraikan murid cemerlang keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang akan diumumkan esok.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron, berkata ia termasuk mengumumkan pelajar memperoleh keputusan semua A dalam peperiksaan itu.

Langkah itu, katanya, bertujuan menggalakkan murid meneruskan kecemerlangan, bukannya menyinggung calon lain yang kurang menyerlah.

"Sudah menjadi tradisi sebahagian besar daerah dan kampung di Melaka meraikan murid cemerlang UPSR.

"Ia wajar diteruskan sebagai menghargai usaha mereka sehingga berjaya dalam peperiksaan, selain memberi semangat murid lain untuk berusaha lebih gigih pada masa depan.

"Terpulang kepada penganjur majlis keraian terbabit menyusun cara terbaik untuk program itu asalkan tidak keterlaluan dan membazir," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat EXCO kerajaan negeri di Seri Negeri, hari ini.

Idris mengulas kenyataan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, yang meminta pihak sekolah meraikan keputusan semua calon USPR yang diumumkan hari ini dan bukannya menumpukan murid memperoleh semua A.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan