Bajet Perak Berpandukan Fakta, Bukan Pembohongan

Ipoh - Bajet Perak 2018 yang dibentangkan semalam adalah berasaskan kepada fakta rasmi yang dikeluarkan beberapa agensi kerajaan dan bukan berasaskan kepada pembohongan.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata beliau tidak pernah menipu dalam membentangkan bajet negeri sejak menerajui kepemimpinan negeri.

"Bagaimanapun, nampaknya fakta ini membuatkan beberapa wakil rakyat pembangkang resah dan ada juga yang kepanasan lalu tampil dengan maklum balas negatif yang sarat dengan pembohongan," katanya pada sidang media di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Zambry berkata, wakil rakyat pembangkang iaitu Datuk Ngeh Koo Ham (DAP-Sitiawan), Nga Kor Ming (DAP-Kepayang) dan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin (PAN-Changkat Jering) pada sidang media mereka selepas pembentangan bajet semalam menuduh pembentangan bajet berkenaan sebagai satu pembohongan.

Beliau berkata, antara lain mereka mendakwa bajet yang dibentangkan adalah bajet defisit selama tujuh tahun berturut-turut, selain penyata kewangan negeri pada 2017 menunjukkan defisit, kemerosotan rezab negeri dan tiada penambahan hasil negeri.

Katanya, sebaliknya Perak turut mencatatkan prestasi hasil melebihi 100 peratus dalam tempoh lima tahun antara 2009 hingga 2016 malah masih memperolehi lebihan hasil meskipun perbelanjaan adalah 100 peratus.

"Pembangkang juga cuba mengelirukan rakyat apabila mendakwa Bajet 2017 adalah defisit sedangkan Laporan Kewangan 2017 belum tamat dan hanya siap apabila berakhir tahun ini.

"Walaupun kerajaan negeri membentangkan bajet defisit tetapi penyata kewangan sebenar setiap tahun merekodkan lebihan atau surplus," katanya.

Zambry berkata, sejak tahun 2009, penyata kewangan negeri yang telah diaudit menunjukkan lebihan iaitu 2009 sebanyak RM9.55 juta, 2010 (RM30.39 juta), 2011 (RM25.72 juta), 2012 (RM18.49 juta), 2013 (RM13.13 juta), 2014 (RM7.73 juta), 2015 (RM7.59 juta) dan 2016 (4.42 juta).

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid, pada sidang media sebelum itu berkata, pembangkang dicabar mengemukakan bukti pembayaran seperti resit atau baucar bayaran Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) kepada The BrandLaureate.

Katanya, bukti itu perlu ditunjukkan pada sidang DUN apabila pembangkang berterusan mendakwa anugerah The BrandLaureate Nation Building Brand Icon Leadership Award-Game Changer Icon yang diberikan kepada Zambry Ogos lalu, dibayar oleh MB Inc.

Katanya, beliau yakin mereka tidak akan dapat mengemukakan bukti itu kerana ia tidak benar sama sekali.

"Jika ada sekalipun, saya yakin ia adalah palsu," katanya.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan