Bebas Nelayan: Bukti Hubungan Baik KL-Jakarta

Kuala Lumpur - Persetujuan bersama Malaysia dan Indonesia membebaskan nelayan yang ditahan atas kesalahan pelanggaran sempadan perairan adalah bukti hasil hubungan baik antara kedua-dua negara.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim, berkata hubungan baik antara pemimpin dua negara membolehkan persefahaman ini dicapai dengan penyelesaian yang memuaskan hati kedua-dua pihak.

Katanya, ia berikutan kesepakatan yang dicapai antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) itu memerlukan persefahaman yang tinggi.

"Sesungguhnya, rundingan seperti ini amat sukar dicapai jika persahabatan kita kurang memuaskan di antara satu negara dengan negara yang lain.

"Pada pandangan saya, capaian persefahaman ini juga membuktikan kerajaan di bawah pimpinan Najib tidak akan mengabaikan rakyatnya yang dalam kesusahan dan sikap ini sewajarnya dipuji," katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Irmohizam yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor, berkata persetujuan ini juga menunjukkan persahabatan erat Jokowi dan Najib diibaratkan sangat rapat dan tidak boleh dipisahkan. Katanya, keprihatinan Perdana Menteri terhadap golongan nelayan turut dipersetujui Jokowi yang mengatakan bahawa golongan nelayan adalah golongan yang memerlukan bantuan.

Semalam, Najib dan Jokowi bersetuju supaya nelayan kedua-dua negara yang ditahan atas kesalahan pelanggaran sempadan perairan dibebaskan.

Malah, kedua-dua pemimpin mahu pembebasan nelayan terbabit dilakukan secepat mungkin, dengan bot mereka bersama peralatan berkaitan turut dikembalikan.

Ia juga sebahagian daripada persetujuan dicapai dalam Majlis Perundingan Tahunan Malaysia - Indonesia Ke-12 yang berlangsung di Kuching.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan