CTC Bergerak Akan Ditambah

Kuala Lumpur - Pusat Transformasi Komuniti (CTC) bergerak yang beroperasi menggunakan bas akan ditambah, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, program dirangka untuk memberi perkhidmatan lebih baik, khususnya kepada masyarakat pedalaman, ketika ini mencatatkan impak positif kerana berupaya menjimatkan perbelanjaan rakyat.

"Masyarakat luar bandar menerima baik usaha ini kerana mereka tidak lagi perlu ke bandar untuk membeli barang, sebaliknya kita menggunakan bas yang diubah suai sebagai kedai bergerak.

"Oleh itu, saya minta CTC bergerak ini ditambah untuk beri perkhidmatan lebih baik kepada mereka (masyarakat luar bandar)," katanya menjawab soalan tambahan Datuk Juslie Ajirol (BN-Libaran), di Dewan Rakyat, sebentar tadi.

Juslie meminta perincian mengenai langkah kerajaan dalam merangka program berimpak tinggi menerusi Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) yang bakal dilaksanakan untuk penduduk kawasan luar bandar.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, contoh terbaik NBOS adalah Pusat Transformasi Bandar (UTC) yang berfungsi sebagai pusat sehenti bagi menawarkan pelbagai perkhidmatan kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan swasta.

"Inisiatif UTC sangat unik memandangkan ia beroperasi menjangkau waktu operasi biasa, iaitu dari jam 8.30 pagi hingga 10 malam, setiap hari termasuk hujung minggu.

"Berdasarkan perangkaan diterima, UTC setakat ini sudah memberi perkhidmatan kepada lebih 54 juta pengunjung sejak ia diwujudkan pada 2013," katanya.

Menjawab soalan tambahan Zailah Mohd Yusoff (PAS-Rantau Panjang) mengenai langkah penjimatan lain kerajaan, Najib berkata, Program Rehabilitasi Komuniti (CRP) adalah antara penyelesaian terbaik ke arah penjajaran aspek kewangan negara.

"Menerusi CRP, banduan yang tidak terbabit dalam kategori penjenayah berat boleh diberi latihan vokasional, termasuk dalam bidang pertanian untuk mereka berupaya menjana pendapatan.

"Banduan ini ditempatkan di kawasan yang dikawal, tetapi bukan di penjara, justeru kita tidak perlu membina penjara baharu, sekali gus menjimatkan perbelanjaan negara," katanya.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan