'Saya Minta Maaf'

Kuala Lumpur - Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, hari ini memohon maaf secara terbuka kepada semua pihak yang berasa hati dengan kenyataannya yang didakwa memperkecilkan Universiti Teknologi MARA (UiTM) sebagai tempat pelajar lemah pembelajaran.

Menegaskan tiada niat untuk merendahkan mana-mana pihak, beliau berkata apa yang terkeluar dari mulutnya itu sekadar ucapan motivasi kepada pelajar sebagai peringatan supaya tidak melupakan jasa kerajaan yang banyak memberi peluang untuk mengubah diri hingga menjadi orang berjaya.

Bagaimanapun, beliau tidak menyangka perkara itu diambil kesempatan oleh pihak tertentu dengan memutar belitkan fakta bagi melaga-lagakan dirinya dengan UiTM dan pelajar lain.

"Jika ia mengguris hati sesiapa, saya minta maaf. Sudah-sudahlah... tak payah kita nak bising-bising lagi.

"Saya sedar dan saya tahu barangkali saya ini kan selalu mulut celupar. Mulut celupar ni lain kali kena berhati-hati," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan perjumpaan dengan Persatuan Alumni UiTM di pejabatnya dekat Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dekat sini, hari ini.

Beberapa portal sebelum ini melaporkan Tengku Adnan atau Ku Nan didakwa memperkecilkan UiTM kononnya sebagai tempat pelajar kurang cemerlang dalam pendidikan.

Beliau dikatakan menyebut isu itu ketika berucap pada Majlis Anugerah Nadi Negara 2017 di PWTC, Sabtu lalu.

Sementara itu, Presiden Persatuan Alumni UiTM, Datuk Zaini Hassan, berterima kasih kepada Tengku Adnan kerana sanggup memohon maaf atas perkara terbabit.

Berikutan itu, Zaini meminta pihak tidak berkaitan menghentikan isu itu dan menyerahkan kepada 700,000 alumni UiTM menyelesaikannya.

"Kami lega kerana dapat bersemuka dengan Tengku Adnan bagi mendapatkan penjelasan sebenar berhubung apa yang berlaku.

"Kenyataan Datuk Seri diputar belit. Beliau bercakap dalam konteks motivasi tetapi ia diterjemahkan dalam konteks berbeza.

"Pihak tidak berkaitan mengambil kesempatan dengan menggunakan ucapan beliau itu bagi tujuan politik," katanya.

Katanya, 'unfortunate learner' atau 'second chance' adalah perkataan tepat bagi menggambarkan matlamat dan objektif UiTM dalam memberi peluang kepada anak luar bandar mendapatkan pendidikan tinggi.

"UiTM adalah universiti premier. Tahap kebolehpasaran pelajarnya adalah antara yang tertinggi di Malaysia," katanya.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan