57 Peratus Projek 2016 Di Selangor Tidak Dilaksanakan

Kuala Lumpur - Banyak kepincangan ketara pentadbiran kerajaan Selangor seperti dikemukakan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2016 Siri 2 yang mendedahkan 57 peratus kerajaan negeri itu belum dilaksanakan.

Ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi, berkata kerajaan Selangor gagal mentadbir urus peruntukan yang diluluskan pada 2015, berikutan banyak projeknya belum lagi dimulakan.

"Jabatan Audit Negara (JAN) mengeluarkan Laporan Ketua Audit Negara 2016 Siri 2 yang mendedahkan sebanyak 57 peratus projek yang diluluskan kerajaan negeri Selangor bagi tahun 2016 belum dimulakan.

"Laporan sama juga menyebut hanya lapan peratus daripada keseluruhan projek negeri Selangor bagi tahun 2016 berjaya disiapkan iaitu yang paling rendah berbanding negeri lain dan 57 peratus berkenaan adalah paling tinggi berbanding negeri lain," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang berkata, laporan itu jelas memalukan dan Menteri Besarnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali perlu memberi penjelasan kepada rakyat Selangor.

"Beliau sering mendabik dada kononnya pentadbiran Selangor banyak membawa kejayaan. Namun laporan ini membuktikan sebaliknya, berikutan menerusi laporan itu jelas menunjukkan kepincangan ketara di bawah pentadbiran beliau.

"Peruntukan itu diluluskan bagi semua projek 2016 menerusi Belanjawan Negeri 2016 yang diumumkan pada 2015, kini sudah hampir kepada penghujung tahun 2017," katanya.

Budiman berkata, Laporan Ketua Audit Negara sering dijadikan bahan kempen pembangkang untuk menyerang Kerajaan Persekutuan, terutama yang membabitkan projek yang gagal atau lambat disiapkan.

"Itu hanya mahu memburukkan kerajaan terutama berkenaan kepincangan di bawah pentadbiran Barisan Nasional dan bukan negeri pakatan rakyat.

"Bagaimanapun pendedahan laporan audit 2016 Siri 2 benar-benar mengejutkan kerana Selangor adalah negeri paling tinggi tidak memulakan projek meskipun kian menghampiri tahun 2018," katanya.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan