Dr Mahathir Tidak Terima Hakikat

Kuala Lumpur - Tun Dr Mahathir Mohamad dilihat mengalami "post power syndrome" atau tidak dapat menerima hakikat beliau tidak lagi berkuasa sehingga sanggup menghina etnik Bugis sebagai lanun.

Ini terbukti apabila bekas perdana menteri itu menentang semua penggantinya, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Razak, yang mengambil alih pucuk pimpinan negara.

Mantan Menteri Hukum dan Hak Asasi Manusia Indonesia, Hamid Awaludin, berkata tidak salah sekiranya Dr Mahathir menentang Najib sebagai seteru politik, tetapi beliau tidak seharusnya mengheret isu ras dan etnik seseorang individu itu.

Katanya, tindakan Dr Mahathir itu tidak menggambarkan kedudukannya sebagai seorang negarawan, malah menggunakan isu etnik amatlah bahaya kerana boleh membawa kepada perpecahan.

"Ertinya Dr Mahathir tidak rela dia tidak lagi berkuasa, boleh berseteru dengan Najib tapi jangan bawa isu ras dan etnik... termasuk kami (kaum Bugis) di Indonesia dicap lanun," katanya pada sidang media khas mengenai penghinaan Dr Mahathir terhadap kaum Bugis di sebuah hotel di sini, hari ini.

Hadir sama pada sidang media khas itu ialah EXCO Pemuda UMNO, Datuk Mohamed Hazali Abu Hassan dan Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii.

Dr Mahathir, pada perhimpunan pakatan pembangkang di Petaling Jaya pada 14 Oktober lalu, dilaporkan menghina kaum Bugis dengan mengatakan Najib berasal daripada lanun Bugis yang sesat ke Malaysia dan meminta beliau balik ke tempat asal.

Kenyataan Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu menerima kecaman rakyat Malaysia berketurunan Bugis serta menimbulkan kemurkaan Sultan Selangor dan Sultan Johor.

Hamid berkata, kenyataan Dr Mahathir yang menghina kaum Bugis ada kaitan dengan faktor umur beliau yang mula menunjukkan sifat kebudak-budakan dan tidak sensitif dalam perkara yang sepatutnya sensitif.

Beliau berkata menggunakan isu ras dan etnik amat berbahaya, malah peperangan dunia kedua suatu ketika dulu bermula apabila Hitler merasakan kaum Aryan adalah lebih 'superior' daripada kaum lain.

"Sangat bahaya kalau politik libatkan isu ras dan etnik, (malangnya) 72 tahun selepas Perang Dunia Kedua, masih ada pemimpin yang memainkan isu etnik dan ras," katanya.

Hamid menegaskan isu ras dan etnik amat terkesan dan bersifat kekal kerana seseorang individu itu boleh menukar agamanya tetapi tidak boleh memilih bangsa beliau dilahirkan di muka bumi ini.

"Saya sebagai orang Bugis rasa terganggu dan terhina dengan ucapan Dr Mahathir mengenai masyarakat Bugis. Kalau ucapan itu ditujukan kepada seteru politik (tidak mengapa) tetapi dia mengaitkan ras dan etnik Najib," katanya.

Hamid mendakwa penghinaan Dr Mahathir itu juga boleh menjejaskan hubungan Malaysia dan Indonesia kerana ramai di kalangan keturunan Bugis berada di negara ini, malah memainkan peranan penting dalam ekonomi negara, khususnya di sektor perladangan.

"Suku Bugis itu bangsa Indonesia, kalau ada orang memojokkan (mengetepikan) Bugis bermakna dia memojokkan Indonesia," katanya menegaskan Malaysia dan Indonesia mempunyai hubungan baik di bawah Najib dan Presiden Joko Widodo.

Ditanya adakah Dr Mahathir perlu memohon maaf, Hamid berkata terserah kepada beliau untuk meminta maaf atau tidak kerana orang yang beradab akan mengakui sekiranya beliau melakukan salah.

Mengulas isu sama, Mohamed Hazli berkata percubaan sengaja mengaitkan sesuatu kaum sebagai lanun adalah perbuatan terdesak dan sememangnya tiada tempat dalam masyarakat masa kini.

"Biarpun berbeza pendapat, semestinya ada batasan terhadap penggunaan istilah lanun dan bagaimana sesuatu keturunan itu 'sesat sampai ke Malaysia' dan juga disuruh 'pergi balik ke Bugis, kami tak nak kamu' adalah sama seperti menyatakan sesebuah kaum itu adalah pendatang," katanya.

Mohd Razlan berkata, Dr Mahathir perlu menarik balik kenyataan menghina kaum Bugis itu kerana ia bukan hanya memburukkan kaum itu tetapi menghina masyarakat madani keseluruhannya.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan