'UMNO Berjaya Pada Usia Muda'

Kuala Lumpur - Usia UMNO yang kini menjengah 71 tahun disifatkan sebagai umur sebuah parti yang masih muda, baharu dan tergolong dalam kategori belia.

Presidennya, Datuk Seri Najib Razak, berkata tempoh sedemikian mungkin panjang dan lama dalam konteks umur manusia, namun berbeza bagi sebuah parti yang bertanggungjawab membawa kemerdekaan, selain memimpin bangsa dan negara ke arah pelbagai kejayaan.

"Beberapa hari lagi akan berlangsungnya Perhimpunan Agung UMNO iaitu acara kemuncak parti keramat yang memperjuangkan bukan saja nasib Melayu, Bumiputera dan Islam, malah seluruh negara tercinta ini sejak merdeka.

"Alhamdulillah, dalam usia muda ini, kita mencapai begitu banyak (kejayaan) untuk Melayu, Bumiputera, Islam dan Malaysia.

"Justeru, sama-sama kita hayati sejauh mana kepemimpinan UMNO ke arah kejayaan yang kita kecapi hari ini menjelang perhimpunan agung parti nanti," katanya menerusi entri terbaru di blog rasminya, NajibRazak.com, hari ini.

Najib berkata, Bumiputera sebagai golongan majoriti kerana mewakili lebih 60 peratus daripada bilangan penduduk di Malaysia perlu terus makmur dan berjaya, demi memacu perkembangan serta kemajuan Malaysia.

Beliau berkata, kedua-dua entiti iaitu Bumiputera dan Malaysia wajar seiring dan sejalan, selaras kata-kata keramat 'kejayaan bangsaku, kejayaan negaraku'.

"Oleh itu, sejak saya mengambil alih tampuk kepemimpinan pada 2009, kerajaan Barisan Nasional (BN) melaksanakan pelbagai inisiatif, termasuk menambah baik usaha pimpinan terdahulu untuk terus memperkasa agenda Bumiputera sebagai agenda nasional.

"Hasil usaha berterusan kita menyaksikan pendapatan kasar bulanan isi rumah Bumiputera meningkat daripada RM3,624 pada 2009 sewaktu saya mula memimpin kepada RM6,267 tahun lalu, iaitu peningkatan hampir dua kali ganda.

"Insiden kemiskinan Bumiputera berjaya diturunkan daripada 5.3 peratus pada 2009 kepada 0.5 peratus tahun lalu, malah kita sentiasa memastikan Melayu dan Bumiputera terus berdaya saing dalam aspek pendidikan, pekerjaan, pemilikan aset dan lain-lain.

"Semuanya terangkum dalam Transformasi Kesejahteraan Bumiputera yang dilancarkan awal tahun ini, dengan menyingkap segenap pencapaian dan aspirasi masa hadapan kita untuk Melayu dan Bumiputera," katanya.

Siri kejayaan itu, katanya, adalah hasil perjuangan UMNO, atau lebih tepat hasil kesanggupan, titisan darah, keringat dan walak tidak berbelah bahagi ahli parti daripada peringkat akar umbi ke pucuk pimpinan.

Sehubungan itu, katanya, UMNO sebagai parti bertunjangkan kepentingan memperjuangkan nasib rakyat sanggup berkorban hingga ke titisan darah terakhir demi Malaysia.

"UMNO adalah parti rakyat, justeru ia menjadi hak dan milik ahli-ahlinya, bukan milik mana-mana individu. Insya-Allah, UMNO akan terus gagah memikul tanggungjawab ini.

"Menjadi nakhoda membawa Melayu, Bumiputera, rakyat dan negara dalam pelayaran menuju lembah kejayaan kerana perjuangan ini berasaskan nurani yang luhur, ikhlas dan murni demi agama, bangsa, serta negara," katanya.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan