Jangan Jadi Generasi Gagal

Kuala Lumpur - Belia perlu menyuarakan pandangan kepada kerajaan mengenai kebimbangan mereka terhadap isu berkaitan ancaman keselamatan global pada masa depan.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, berkata adalah penting untuk mereka bersuara dengan menyatakan keutamaan dan keperluan yang harus dilakukan.

"Sekiranya belia tidak bersuara untuk generasi sendiri, tiada siapa yang akan melakukannya. Seterusnya anda akan menjadi generasi yang gagal.

"Jangan hanya menunggu dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50), sebaliknya beritahu kami (kerajaan) bahawa anda cukup mengambil berat mengenai isu keselamatan pada masa depan.

"Ini kerana, ia (isu keselamatan) bukannya untuk individu tetapi untuk kita sebagai sebuah negara," katanya.

Khairy yang juga Ketua Pemuda UMNO berkata demikian ketika berucap pada majlis penutup Wacana Belia Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIYD) 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Wacana sehari itu yang disertai seramai 1,500 peserta yang rata-ratanya belia pelbagai latar belakang, dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pagi tadi.

Sementara itu, Pengerusi KLIYD 2017, Khairul Anwar Harun, berkata program berkenaan menjadi platform terbaik untuk berdialog berhubung isu keselamatan menyeluruh kerana dihadiri pemimpin negara dan juga ahli panel dari luar negara.

Katanya, keselamatan menyeluruh adalah satu konsep yang mendapat tempat di dalam perbincangan dalam bentuk dialog dan forum serta di media sosial.

"KLIYD menghimpunkan pemimpin utama negara dengan anak muda supaya mereka dapat meluahkan isi hati, manakala pemimpin dapat mendengar kehendak dan aspirasi anak muda," katanya.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan