PRU-14 Tidak Terikat Formula Sarawak

Kuala Lumpur - Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan kaedah calon langsung boleh diguna pakai di beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri dan Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Timbalan Perdana Menteri berkata, walaupun tidak terikat dengan formula atau kaedah yang diguna pakai ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, kaedah itu boleh dilaksanakan di beberapa kerusi pada PRU akan datang.

"Saya fikir kita perlu perjelaskan dan bincangkan secara terperinci kerana formula ini diguna pakai di Sarawak.

"Saya fikir kita tidak akan terikat dengan formula itu tetapi saya rasa mungkin wujud keperluan di beberapa kerusi yang membolehkan formula ini dilaksanakan di Semenanjung," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Laman Media sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, hari ini.

Beliau ditanya mengenai reaksi beberapa pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) yang sudah menamakan beberapa kawasan untuk mengguna pakai kaedah calon langsung, termasuk di kerusi Cameron Highlands.

Ahad lalu, Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Timbalan Presiden berkata, beliau tidak menolak kemungkinan BN mengguna pakai kaedah 'calon langsung BN' bagi menyelesaikan perebutan kerusi antara parti komponen pada PRU-14.

Beliau dilaporkan berkata, kaedah calon langsung terpakai di Sarawak yang antaranya memberi peluang kepada calon Parti Rakyat Bersatu (UPP), iaitu parti serpihan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) bertanding pada PRN Ke-11, tahun lalu.

Mengenai PAU 2017, Ahmad Zahid berkata, perhimpunan tahunan kali ini bakal menjadi pentas untuk perwakilan dan pemerhati menonjolkan kesiapsiagaan parti menghadapi PRU-14.

Ditanya sama ada perhimpunan ini membuka peluang kepada UMNO untuk menonjolkan sebagai parti terbaik, beliau berkata, ia tidak hanya tertumpu pada UMNO semata-mata, sebaliknya turut menunjukkan kekuatan bersama parti komponen BN.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan