Baitulmaqdis: PM Ulangi Pendirian Malaysia

Male - Datuk Seri Najib Razak mengulangi pendirian Malaysia membantah sekeras-kerasnya keputusan Amerika Syarikat (AS) mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Perdana Menteri berkata, pendirian Malaysia amat jelas dan kekal menentang perisytiharan sebelah pihak pentadbiran AS berhubung isu Baitulmaqdis.

"Berhubung isu ini (Baitulmaqdis), kita menolak sekeras-kerasnya keputusan menjadikan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Presiden Maldives, Abdulla Yameen Abdul Gayoom di pejabat Presiden di sini sempena lawatan kerja dua harinya ke Maldives yang berakhir hari ini.

Perdana Menteri turut mengadakan mesyuarat bersama Abdulla Yameen sebelum menghadiri mesyuarat dua hala bersama delegasi menteri dan pegawai kanan Malaysia-Maldives.

Berhubung isu Rohingya, Najib berkata, beliau sudah memaklumkan kepada Abdulla Yameen bahawa Malaysia melakukan segala yang mungkin untuk meringankan penderitaan pelarian etnik itu.

"Pendirian kita amat jelas dan sesuatu (yang) positif harus dilakukan bagi memastikan penindasan terhadap etnik Rohingya dihentikan. Mereka harus dibenarkan pulang ke kampung halaman," katanya.

Perdana Menteri berkata, Malaysia masih belum melihat sebarang perkembangan positif selepas Myanmar menyatakan komitmen mereka dalam menyelesaikan isu Rohingya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Malaysia dan Maldives berkongsi pendirian sama dalam usaha memerangi keganasan dan ekstremisme terutama ideologi jahat Daesh.

"Saya sudah menerangkan kepada Presiden (Maldives) mengenai langkah awal yang kita laksanakan di Malaysia. Kita berjaya mengawalnya namun ancaman itu masih wujud bukan sahaja kepada Malaysia malah seluruh dunia," katanya.

Najib berkata, Presiden Maldives ada membuat kenyataan ketika mesyuarat bahawa beliau menganggap Malaysia sebagai model pembangunan ekonomi.

Katanya, kenyataan itu adalah bukti jelas berhubung apa yang kerajaan lakukan untuk negara.

"Kenyataan ini amat penting kepada kami dan saya secara peribadi mengucapkan terima kasih kepada Presiden Maldives kerana memberi keyakinan kepada Malaysia bahawa kita berada di landasan yang betul," katanya.

Perdana Menteri turut membangkitkan mengenai kerjasama membangunkan produk halal dan perkhidmatan termasuk pelancongan Islam ketika pertemuannya dengan Presiden Maldives.

"Kita boleh bekerjasama dalam mengeksport (produk halal) ke negara ketiga. Kita juga boleh bekerjasama dalam kewangan Islam kerana Malaysia mempunyai kepakaran dalam bidang itu di peringkat global," katanya.

Malaysia dan Maldives turut menandatangani empat memorandum persefahaman (MoU) di pejabat Presiden.

MoU itu membabitkan kerjasama dalam aspek memadam kebakaran dan latihan menyelamat yang ditandatangani oleh Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar dan Menteri Pertahanan dan Keselamatan Maldives, Adam Shareef.

MoU dalam perubatan pula ditandatangani oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri S Subramaniam dan Menteri Kesihatan Maldives, Abdulla Nazim Ibrahim.

MoU untuk menubuhkan pusat budaya Maldives di Malaysia ditandatangani Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Menteri Luar Maldives, Dr Mohamed Asim.

MoU keempat membabitkan bidang pendidikan pula ditandatangani Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh dan Menteri Pendidikan Maldives, Dr Aishath Shiham.

Sementara itu, Abdulla Yameen berkata, sebagai dua negara Islam yang cintakan keamanan, kedua-dua negara setuju meningkatkan kerjasama dan usaha mengukuhkan lagi solidariti ummah dan mempromosikan nilai Islam yang sebenar.

"Kami membincangkan situasi di Palestin serta masalah yang menimpa etnik Rohingya dan bersetuju bekerjasama dengan lebih dekat mengenai kedua-dua isu ini," katanya.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan