Tangani Angin Perubahan Orang Muda

Kuala Lumpur - Kerajaan Barisan Nasional (BN) perlu menyelesaikan angin perubahan pengundi muda supaya terus mendapat mandat, sekali gus terus relevan sebagai parti masa depan.

Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Mohd Razlan Mohamad Rafii, berkata masa depan negara terletak di tangan pengundi muda, yang mana pada hari ini dilihat sebagai golongan mudah terpengaruh dengan pelbagai fitnah media sosial.

Beliau tidak menafikan realitinya angin perubahan orang muda banyak tercetus di Wilayah Persekutuan namun, isu yang dekat di hati orang muda seperti kos sara hidup, ekonomi dan pendidikan awal sudah selesai dan diperjuangkan sejak 2013.

"Kita mahu rakyat tengok usaha yang kita dah buat untuk memenangi hati orang muda. Jangan disebabkan perkara kecil, rakyat buang (tolak) semua usaha kita.

"UMNO dan BN juga perlu sedar kemahuan orang muda. Contohnya, dalam bidang pendidikan, kemasukan ke institusi pengajian tinggi, kemudahan bersukan seperti padang bola, futsal dan badminton.

"Orang muda juga mahu peluang pekerjaan dilipatgandakan selain , menikmati kemudahan mengakses internet lebih luas dan laju," katanya ketika bicara santai 'Anda Tanya Kita Jawab' bertajuk 'Pasca Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2017: UMNO Parti Untuk Masa Depan', Diskusi UMNO-Online, di sini, hari ini.

Diskusi itu disiarkan secara langsung ('live') melalui platform, Facebook rasmi UMNO-Online, www.facebook.com/mediaumnomalaysia dan youtube www.youtube.com/MediaUMNOMalaysia serta facebook rasmi Annuar www.facebook.com/AnnuarMusa.

Turut menjadi panel adalah Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa dan Ketua UMNO Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said.

Sementara panelis jemputan adalah Pegawai Khas kepada Perdana Menteri, Isham Jalil.

Mohd Razlan berkata UMNO melihat Pasca Pilihanraya Umum adalah satu kepentingan untuk parti merancang agenda sosial sebagai tawaran dan jaminan masa depan kepada rakyat menjelang 2050.

"Apa yang kita lihat hari ini, sebagai contoh pendidikan tinggi tidak semestinya melahirkan individu berakhlak tinggi. Kita kena selesaikan isu pembentukan akhlak seperti pecah amanah dan isu sosial. Kalau kita berjaya mendidik rakyat dengan kesedaran sivik dan moral seperti Jepun, inilah negara masa depan rakyat.

"Agenda ini yang kita nak bawakan kepada rakyat untuk 30 tahun akan datang dan seterusnya. BN dan UMNO kena merancang idea baharu untuk ditawarkan kepada masyarakat.

"Kalau kita lihat, parti pembangkang tidak pernah membincangkan agenda penyelesaiaan masalah rakyat pada masa depan," katanya.

Sementara itu, Mohd Zaidi yakin angin perubahan orang muda Melayu yang sedar agenda tersembunyi DAP, yang tidak punya cita-cita memajukan bangsa lain akan membolehkan BN menawan semula Permatang Pauh.

"Kita yakin 15 kerusi bukan masalah besar kepada BN, kalau pembangkang berpecah. PKR hanya alat kepada DAP memecahkan undi Melayu, begitu juga Parti Amanah Negara dan Parti Parti Pribumi Bersatu Malaysia. Kalau kita serapkan kesedaran ini kepada Melayu, harapan BN tetap ada.

"Saya percaya dengan angin perubahan, gerak kerja dan kesilapan atau keangkuhan DAP mampu menawan semula Permatang Pauh. Mereka kena sedar soal pembangunan dan rumah kos rendah tidak pernah dibangunkan kerajaan DAP. Jelas, dasar DAP adalah bermotif keuntungan semata-mata," katanya.

Selain itu, katanya angin perubahan boleh dilihat melalui laporan di media sosial akhabr arus perdana termasuk ramai anak muda mula memberikan sambutan terhadap aktiviti MCA dan Gerakan.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan