Pembangkang Utama Kepentingan Politik

Kuala Lumpur - Tahap hipokrasi (kepura-puraan) ditonjolkan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Lim Kit Siang dalam isu kerugian tukaran wang asing oleh Bank Negara Malaysia (BNM) membuktikan dua pemimpin pembangkang itu lebih mengutamakan kepentingan politik berbanding mencari kebenaran.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Mohd Salleh Said Keruak, berkata serangan Dr Mahathir terhadap bekas Penolong Gabenor BNM, Datuk Abdul Murad Khalid, berhubung kerugian urus niaga tukaran wang asing BNM berjumlah RM31.5 billion, tidak sepatutnya berlaku.

Beliau berkata, Dr Mahathir, yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu sepatutnya marah dengan tindakan Kit Siang yang menuntut penubuhan suruhanjaya siasatan bagi menyiasat kerugian tukaran wang asing BNM sejak 20 tahun lalu.

"Abdul Murad hanya memberi keterangan dalam pendengaran RCI (Suruhanjaya Siasatan Diraja) berhubung kerugian sebenar forex yang mendedahkan jumlahnya adalah RM31.5 bilion, bukannya RM5.7 bilion.

"Sekarang, Dr Mahathir memerlukan Kit Siang sebagai sekutu politik, manakala Kit Siang memerlukan Dr Mahathir untuk mendapatkan undi orang Melayu. Kedua-duanya membuat pusingan U dalam skandal forex," katanya menerusi catatan terkini dalam blognya sskeruak.blogspot.my, hari ini.

Semalam, Dr Mahathir meletakkan kesalahan berikutan kerugian itu ke atas Abdul Murad, dengan mendakwa bekas penolong gabenor BNM itu mengetahui mengenai kerugian terbabit tetapi memilih berdiam diri dan hanya mendedahkan perkara diketahuinya, baru-baru ini.

Salleh yang juga Bendahari UMNO berkata, sikap Dr Mahathir dan Kit Siang dalam isu berkenaan membuktikan kepentingan politik lebih diutamakan berbanding isu lain.

"Bukankah Kit Siang yang menuntut kebenaran dan Dr Mahathir yang menyatakan beliau hanya mencari kebenaran?" katanya.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan