Baitulmaqdis: Malaysia Sokong Resolusi PBB

Putrajaya - Datuk Seri Najib Razak berkata, Malaysia menyokong resolusi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), menolak keputusan Amerika Syarikat (AS) mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel, bukan atas faktor keadilan atau kebenaran semata-mata.

Sebaliknya, Perdana Menteri berkata, ini disebabkan Malaysia mempunyai kekuatan, maruah dan kehormatan tanpa perlu bergantung kepada negara lain termasuk AS.

"Malaysia bukan negara yang meminta sedekah daripada negara lain, hatta AS sekali pun. Walaupun dia kuasa besar, tetapi jangan perlekehkan Malaysia.

"Kita ada maruah dan kehormatan. Kita tidak minta pinjaman daripads AS. Dalam banyak hal AS minta kita, dia boleh kata tolong beli kapal terbang dia, boleh melabur di sana.

"Maknanya, Malaysia sudah membangun ke tahap boleh jadi model kepada negara lain. Kita bukan lemah. Kita ada kekuatan apatah lagi jika umat Islam bersatu dalam negara kita," katanya.

Beliau berkata demikian sempena Perhimpunan Solidariti Selamatkan Baitulmaqdis di Masjid Putra di sini, hari ini.

Terdahulu, Najib berkata, walaupun beliau mempunyai hubungan baik dengan Presiden Donald Trump dan disambut baik di Rumah Putih baru-baru ini, beliau tetap dengan prinsip tidak akan menggadai kesucian dan kepentingan Islam.

"Ya, saya disambut baik di Rumah Putih tapi dari segi prinsip saya tidak akan gadai kesucian Islam dan kepentingannya.

"Dalam apa juga kewajipan itu, wajib bagi kita kerana prinsip pertama maqasid syariah ialah menjaga agama. Kalau Baitulmaqdis dan Masjid al-Aqsa kota suci umat Islam, wajib kita perjuangkan Baitulmaqdis bebas dari cengkaman zionis," katanya.

Perdana Menteri berkata, tanggungjawab membela Baitulmaqdis bukan satu pilihan, sebaliknya satu kewajipan bagi seluruh umat Islam.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan