Tanah FELDA: PDRM Tubuh Pasukan Khas

Kuala Lumpur - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menubuhkan satu pasukan khas bagi menjalankan siasatan ke atas transaksi pindah milik tanah FELDA, di sini, yang didakwa mencurigakan.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim, berkata pasukan itu dalam proses meneliti keterangan awal berdasarkan laporan yang dibuat pengadu.

Katanya, keterangan akan diambil daripada pihak yang bakal dikenal pasti sebaik pasukan berkenaan mempunyai maklumat kes yang lengkap.

"Masih terlalu awal untuk dedahkan siapa akan dipanggil memberi keterangan. Biar pasukan khas jalankan proses mengumpul maklumat terlebih dahulu.

"Sebaik sahaja maklumat lengkap diperoleh, pasti kita akan mula memanggil pihak berkaitan untuk diambil keterangan," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Semalam, polis mengesahkan sudah menerima laporan daripada pengurusan FELDA yang dibuat pada 12 Disember lalu di Balai Polis Tun HS Lee berhubung isu berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Luthfi Ismail Abdullah dilaporkan berkata, siasatan dibuat mengikut Seksyen 420/471 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Beliau berkata, FELDA juga mendakwa kerugian yang dicatatkan mereka dianggarkan berjumlah RM265 juta.

Laporan BH semalam mendedahkan, FELDA berisiko kehilangan hak ke atas tanah strategik di Jalan Semarak, yang bernilai lebih RM200 juta apabila dipercayai ia bertukar hak milik menerusi transaksi diragui sejak 2015.

Tanah itu kini dimajukan dengan projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) membabitkan tujuh menara, termasuk menara ikonik FELDA dikenali sebagai KLVC Tower1A.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan