Bukan Tugas Saya Dedah Nama

Johor Bahru - Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Abdul Samad, menegaskan bukan tugasnya untuk mendedahkan nama individu yang terbabit dalam transaksi diragui pemindahan hak milik tanah organisasi itu.

Katanya, pendedahan nama dan siasatan sepatutnya dilakukan pihak berkuasa.

"Sekarang bukan soal nak dedah siapa atau dedah apa. Kalau saya nak dedah daripada awal Januari selepas saya tahu perkara ini, saya boleh heboh dan umum, tetapi tidak. Sebaliknya, kita (FELDA) ambil tindakan dengan cermat.

"Laporan polis sudah dibuat dan polis boleh siasat. Sistem rekod di Malaysia ini lengkap, dan boleh semak latar belakang rekod ketika perkara ini berlaku.

"Bukan tujuan saya hendak hebah siapa terbabit. Cukup setakat saya membuat laporan polis, menceritakan apa sudah berlaku kepada umum terutama peneroka FELDA dalam konteks FELDA dan FELDA Investment Corporation Sdn Bhd (FIC)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis berkhatan Parlimen Johor Bahru di Surau Rumah Pangsa Larkin, di sini hari ini.

Shahrir berkata, beliau berharap sokongan penuh daripada kerajaan, terutamanya Pejabat Peguam Negara dan Pejabat Tanah dan Galian bagi membantu FELDA mendapatkan semula tanah di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

"Kita sebagai agensi kerajaan perlukan sokongan penuh kerajaan dan kalau saya tidak yakin (untuk dapatkan semula tanah), FELDA tidak akan ambil tindakan membuat laporan polis, batalkan kuasa surat kuasa (PA) dan sebagainya," katanya.

Dalam perkembangan lain, Shahrir menyelar kenyataan Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK), Mazlan Aliman, hari ini yang mempersoalkan kredibiliti Pengerusi FELDA mendapatkan semula tanah itu.

"Saya belum bankrap macam mana dakwa saya tiada kredibiliti. Lainlah macam Presiden dia (ANAK) sudah bankrap. Macam mana seorang yang bankrap meragui kredibiliti saya yang belum bankrap?

"Tanggungjawab saya jelas mengikut akta dan perlembagaan dalam FELDA dan beliau (Mazlan) juga bertindak mengikut perlembagaan persatuannya. Jika nak pertikai, pertikai kredibiliti saya mengikut akta dan fasal dalam perlembagaan FELDA," katanya.

BH semalam melaporkan FELDA berisiko kehilangan hak ke atas tanah strategik di Jalan Semarak di sini, yang dianggarkan bernilai lebih RM200 juta, apabila ia dipercayai bertukar hak milik menerusi transaksi diragui sejak 2015.

Pindah milik tanah itu dipercayai berlaku apabila FIC melantik sebuah syarikat tempatan sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan diberikan surat kuasa wakil penuh bagi membangunkannya.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan