Lapor Polis Selepas Proses Perundangan, Teknikal

Kuala Lumpur - Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Abdul Samad menjelaskan bahawa laporan polis mengenai pindah milik tanah di Jalan Semarak di sini, hanya dibuat agensi itu selepas memastikan setiap turutan proses perundangan dan teknikal dipatuhi.

Menafikan laporan polis itu lewat dibuat beliau berkata, tindakan itu tidak boleh dibuat secara terburu-buru kerana FELDA perlu mengambil langkah cermat bagi menanganinya.

"Jika ada orang kata mengapa lambat sangat (lapor polis), ia adalah disebabkan isu berkenaan (pindah milik tanah) adalah antara masalah paling akhir yang berlaku ketika saya masuk FELDA.

"Ia (pindah milik tanah) berlaku pada penghujung 2015 dan 2016. Sebelum ini, beberapa isu lain seperti pembelian hotel Felda Investment Corporation (FIC) di Kuching, dan Kensington, London yang berlaku pada 2014 dan 2015, semuanya kini sudah dalam siasatan.

"Jadi, ia perlu dilakukan mengikut turutan dan selain mendapatkan nasihat pegawai undang-undang saya atau peguam FELDA, kita juga perlu mendapat pandangan pengamal undang-undang di Jabatan Perdana Menteri dan Peguam Negara sebelum mengambil tindakan seterusnya," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, semalam.

Oleh itu, beliau berkata, pihaknya akan membuat siri penjelasan kepada peneroka di seluruh negara mengenai isu berkenaan.

Katanya, matlamat siri penerangan itu adalah bagi menjelaskan kepada peneroka bahawa tanah mereka tidak terbabit dengan isu itu, sebaliknya tanah di Jalan Semarak adalah milik FELDA dan ia akan mempertahankannya sebaik mungkin.

"Tanah di Jalan Semarak ini sedang dipertahankan dan kita akan mengambil apa sahaja tindakan yang perlu tanpa ada rasa takut atau ingin menjaga hati sesiapa.

"Jadi, apa yang perlu saya lakukan sekarang ini adalah menceritakan semula (menerangkan) kepada peneroka bahawa tanah mereka tidak terbabit dalam isu berkenaan.

"Semua tanah peneroka yang sudah mendapat hak milik, iaitu 85 peratus akan terus dapat hak milik dan tidak ada kena mengena dengan tanah di Jalan Semarak," katanya.

Shahrir turut menegaskan, usaha sedang dijalankan, termasuk mendapatkan maklumat daripada semua aspek terutama perundangan serta teknikal.

"Kami menjangkakan sesi penjelasan itu akan dilakukan pada Januari depan," katanya.

Shahrir berkata, sesi penerangan itu juga adalah sebahagian program Gerakan Muafakat yang turut membabitkan beberapa pindaan insentif kepada peneroka.

Asas program itu mahu meningkatkan semangat kebersamaan antara peneroka dengan FELDA menuju masa depan.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan