Isu FELDA Tidak Jejas Persiapan PRU-14

Kuala Lumpur - Kerajaan Barisan Nasional (BN) yakin kemelut pemindahan hak milik tanah FELDA di Jalan Semarak, tidak menjejaskan persiapan parti menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, berkata kerajaan akan menyelesaikan isu yang mencetuskan kemarahan banyak pihak itu secara baik tanpa menjejaskan kredibiliti parti.

"Bagi saya tiada masalah (pecah undi / sokongan), apa sahaja pendirian kerajaan, kita akan sokong.

"Kita akan berperang, sudah pasti kita melakukan persiapan rapi dan kekal bersiap siaga menghadapi pilihan raya umum," katanya.

Beliau ditemui ketika sambutan Rumah Terbuka Hari Krismas anjuran Kementerian Wilayah Persekutuan, di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr M Loga Bala dan Presiden MyPPP, Tan Sri Dr M Kayveas.

Terbaharu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan merakamkan percakapan bekas Pengerusi FELDA, Tan Sri Isa Samad, untuk membantu siasatan kes itu, selewat-lewatnya minggu depan.

Isa akan dipanggil selepas PDRM meneliti dokumen berkaitan dan merekodkan keterangan daripada pengadu kes dalam masa terdekat.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan