Nurul Izzah Dicabar Bukti Penyelewengan Undi Pos

Kuala Lumpur - Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dicabar membuktikan wujud penyelewengan undi pos berikutan dakwaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bakal menyelamatkan kerajaan Barisan Nasional (BN) menerusi kaedah itu yang bertindak sebagai talian hayat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata undi pos bukan perkara baharu, malah pembangkang turut hadir ketika undi pos dijalankan dan berdasarkan keputusan lalu, terdapat pengundi pos yang memilih calon pembangkang

Beliau berkata, Ahli Parlimen Lembah Pantai itu turut maklum bahawa majoriti anggota keselamatan dan kesihatan bertugas ketika PRU berlangsung.

Oleh itu, katanya SPR mempunyai alasan kukuh supaya golongan berkenaan dapat menunaikan tanggungjawab lebih awal sebagai pengundi ketika pilihan raya nanti.

"Kenyataan Nurul Izzah mengenai empat juta pengundi pos akan menjadi talian hayat BN adalah taktik lama pembangkang untuk mengelirukan rakyat menjelang PRU-14 tidak lama lagi.

"Itulah taktik sama yang digunakan sebelum PRU-13 dengan membuat tuduhan palsu kononnya ada 40,000 pengundi Bangladesh akan turut mengundi.

"Mereka lakukan itu untuk membangkitkan rasa benci rakyat bahawa kerajaan tidak demokratik dan mengharapkan rakyat bersimpati dengan pembangkang," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menerusi sebuah portal berita, Nurul Izzah turut mendakwa langkah SPR menetapkan kategori skim anggota keselamatan dan kesihatan sebagai pengundi pos pada PRU-14 memberi isyarat seolah-olah akan berlaku permainan kotor membabitkan SPR pada PRU akan datang.

Dalam laporan semalam, beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya PKR mendakwa prosedur operasi standard (SOP) dalam pendaftaran pengundi pos bagi kategori petugas dan pasukan keselamatan yang tempang apabila dilakukan secara hendap dan tidak telus turut memberi laluan kepada kerajaan BN menggunakan kuasa memindah pengundi ke kawasan pilihan raya yang BN mahu menang pada saat akhir.

Mengulas lanjut, Mohd Puad yang juga Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), berkata kenyataan Nurul Izzah itu membuktikan pembangkang semakin gentar untuk menghadapi PRU-14 secara `gentleman' (budiman) kerana wujud perpecahan sesama sendiri.

Beliau berkata, gabungan pakatan pembangkang berhasrat memenangi PRU akan datang dengan menggunakan kaedah perang persepsi yang sebelum ini memihak kepada mereka.

Katanya, pembangkang sudah kehabisan modal dalam memperjuangkan pilihan raya yang bersih kerana demonstrasi Bersih hingga Bersih 5.0 ternyata menipu rakyat dan tiada satu tuduhan dapat dibuktikan.

"Rakyat tertipu dengan Bersih, sedangkan sistem pilihan raya di Malaysia terbuka telus apabila pembangkang masih menguasai dua negeri, Selangor dan Pulau Pinang," katanya.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan