Kerajaan Ganda Usaha Perbetulkan Kesilapan Silam

Kuala Lumpur - Datuk Seri Najib Razak berkata tahun 2017 menandakan pencapaian berbeza atas usaha berganda kerajaan untuk memastikan tadbir urus yang baik dalam semua sektor.

Perdana Menteri berkata, usaha itu juga termasuk tidak membenarkan kesilapan masa lampau berlalu pergi begitu sahaja antaranya membabitkan kerugian mata wang asing (Forex).

Beliau berkata, beberapa ahli politik seperti Lim Kit Siang sudah lama menuntut ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat kerugian Forex antara tahun 1992 dan 1994.

"Tahun lalu kita memenuhi permintaan itu dengan menubuhkan panel yang dianggotai ahli berwibawa untuk membuat siasatan.

"Mereka dapati bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) mengalami kerugian sebanyak RM31.5 bilion ketika itu, yang mereka katakan mempunyai kesan negatif signifikan terhadap ekonomi negara sekali gus merosakkan peluang pembangunan negara.

"Adalah wajar dan menjadi hak rakyat Malaysia untuk mengetahui apa yang berlaku, seperti mana wajar untuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menunjukkan bahawa mereka yang bersalah akan dikenakan tindakan," katanya dalam perutusan tahun baharu 2018 menerusi laman blog rasminya, Najibrazak.com, hari ini.

Najib berkata, apa yang beliau umumkan pada Julai lalu bahawa kerajaan sedang menghapuskan budaya kapitalisme kroni yang diwujudkan pada masa seorang bekas pemimpin.

Kesannya, beliau berkata, rakyat Malaysia perlu membayar harga yang tinggi supaya beberapa orang rakan bekas pemimpin itu boleh mengaut keuntungan tanpa memikirkan kesan buruk kepada rakyat.

Beliau menegaskan bahawa amalan itu perlu berakhir kerana ia hanya mempamerkan kelemahan tadbir urus sama ada dalam sektor swasta atau awam sekalipun tidak boleh diterima.

"Ia mesti disiasat dan diperbetulkan, bukan hanya kerana ia perlu dilakukan untuk Malaysia terus melangkah menjadi negara berpendapatan tinggi, tetapi kerana ia adalah tuntutan rakyat.

"Amatlah tidak bertanggungjawab bagi ahli politik untuk menentang sesuatu semata-mata demi membangkang kerajaan, meskipun secara peribadi mereka bersetuju bahawa langkah-langkah yang dilaksanakan kerajaan itu adalah tepat," katanya.

Najib memberi contoh isu Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dilaksanakan Malaysia yang seringkali dijadikan isu oleh pihak tertentu, sebaliknya pelaksanaan cukai itu dipuji hampir setiap ahli ekonomi terbuka seluruh dunia.

Katanya, cukai itu juga menjadi ikutan negara lain yang menjadikannya sebagai pelaksanaan dasar oleh kebanyakan negara luar termasuk India dan Arab Saudi termasuk visi 1Malaysia.

"Ia sesuatu yang semua rakyat Malaysia bersifat patriotik perlu sokong.

"Tokoh pembangkang mengakui secara senyap-senyap bahawa mereka menyokong konsep ini untuk menggalakkan perpaduan negara, walhal mereka menentangnya atas dasar kepentingan politik peribadi dan sikap ini amat memalukan," katanya.

Menyentuh isu kemanusiaan sejagat isu Rohingya dan Baitulmaqdis, Perdana Menteri menegaskan bahawa Malaysia memainkan peranan penting bagi membela nasib komuniti antarabangsa terutama umat Islam.

Najib berkata, negara menunjukkan ketegasan pada peringkat antarabangsa dalam kedua-dua isu berkenaan dengan menunjukkan solidariti terhadap etnik Rohingya dan rakyat Palestin bagi menuntut keadilan.

"Kita juga terus bertegas di peringkat antarabangsa bahawa Baitulmaqdis tidak boleh diiktiraf sebagai ibu negara Israel.

"Solidariti Kerajaan Malaysia dengan rakyat Palestin diketahui di seluruh dunia, dan tiada apa yang dapat menghalang kita daripada menyuarakannya dan menggesa keadilan buat mereka," katanya

Mengulas inisiatif Malaysia membela nasib etnik Rohingya, Najib berkata, kesepaduan yang ditunjukkan oleh rakyat berupaya mengubah pandangan global, termasuk pegawai kanan Amerika Syarikat (AS).

Katanya, berikutan pendirian Malaysia itu, AS juga mengemukakan pendirian lebih tegas berhubung isu sama seperti dinyatakan pegawai negara kuasa besar itu menerusi lawatan ke Rumah Putih pada September lalu.

"Kita enggan berdiam diri dan berani untuk menegaskan bahawa dasar konsensus ASEAN tidak boleh diterima dalam menangani malapetaka yang berlaku ini.

"Hasil daripadanya kita dapat lihat menerusi sidang kemuncak ASEAN pada November lalu apabila Myanmar membuat komitmen baharu untuk menyelesaikan krisis membabitkan masyarakat Rohingya ini," katanya.

Beliau berkata, Status Malaysia sebagai negara majoriti Islam sederhana yang berpandangan jauh telah diiktiraf apabila Penjaga Dua Masjid Suci, memilih Malaysia sebagai tempat untuk menubuhkan Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman.

Katanya, pusat itu akan menjadi institusi penting memerangi ekstremisme dan mempromosikan Islam sebenar, di mana Malaysia adalah contoh yang baik.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan