Malaysia Negara Islam Berpengaruh, Prihatin

Kuala Lumpur - Malaysia kekal makmur, aman dan harmoni serta terus menjadi negara Islam contoh berpengaruh dengan suara yang kuat untuk membela Islam dan juga umatnya di serata dunia sepanjang tahun lalu, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, satu daripada peristiwa penting tahun lalu adalah negara kita menentang sekeras-kerasnya pengiktirafan Amerika Syarikat terhadap tanah suci umat Islam, Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Katanya, sampai bila-bila Malaysia tidak akan setuju Baitulmaqdis dijadikan ibu negara Israel seperti beliau tegaskan berulang kali termasuk ketika Perhimpunan Agung UMNO, Mesyuarat Tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Istanbul dan juga Perhimpunan Solidariti Selamatkan Baitulmaqdis di Putrajaya.

Beliau berkata, satu lagi kisah yang benar-benar menyentuh hati umat Islam negara ini adalah penderitaan dan penindasan dialami saudara seagama etnik Rohingya di Myanmar dengan Malaysia lantang mengkritik dan membawa isu itu bukan saja di peringkat ASEAN, tetapi juga ke mata dunia.

"Negara kita akan terus membantu saudara seagama di Palestin dan Myanmar sedaya upaya dan bagi menamatkan segala penderitaan dan penindasan mereka alami, semua umat Islam di Malaysia dan juga seluruh dunia harus bersatu hati.

"Semoga Allah menyatukan hati-hati kita dan berterusan mengurniakan rahmat keamanan dan kestabilan kepada bumi Malaysia, agar dapat kita terus menggunakan pengaruh kita sebagai negara Islam contoh, membela nasib umat Islam yang tertindas, di mana saja di dunia, Insya-Allah," katanya menerusi catatan di blog beliau najibrazak.com hari ini.

Najib berkata, sebagai bukti keprihatinan, negara kita terus menghulurkan bantuan demi bantuan bagi meringankan penderitaan etnik Rohingya termasuk membuka pintu kita kepada segelintir daripada mereka untuk menumpang keamanan dan kestabilan yang ada di Malaysia, manakala penyaluran bantuan kepada pelarian Rohingya yang berada di Bangladesh dan Myanmar diteruskan.

Katanya, pada Februari tahun lalu, Malaysia menerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Yayasan Ikhlas menghantar sumbangan kewangan sebanyak RM172,500 melalui NGO Bangladesh untuk pelarian Rohingya yang tinggal di kem pelarian Kutupalong dan Balukhali di Bangladesh.

Beliau berkata, seterusnya pada September lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyelaras penghantaran sumbangan kemanusiaan bernilai RM4 juta dalam bentuk barangan dan peralatan yang diagihkan kepada pelarian Rohingya di sempadan Bangladesh.

"Sebanyak 12 tan bantuan makanan dan barang keperluan seperti lampin pakai buang, tuala, beras dan biskut untuk pelarian Rohingya di Bangladesh melalui misi bantuan kemanusiaan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Pejabat Perdana Menteri dan NGO iM4U," katanya.

Perdana Menteri berkata, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dan beberapa NGO Islam dari Malaysia pula menghantar bantuan dalam bentuk barangan makanan dan ubat-ubatan khas kepada 140,000 orang pelarian Rohingya di Bangladesh yang bernilai RM200,000.

Beliau berkata, Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia) kemudiannya membuka klinik bergerak di penempatan pelarian Rohingya di kem Thangkhali dan Kutupalong serta memberikan bantuan makanan.

"Selain penghantaran bantuan kemanusiaan, kerajaan juga menubuhkan Hospital Medan dengan kos RM3.5 juta yang mempunyai sebanyak 50 buah katil dan boleh menempatkan seramai 150 pesakit pada satu-satu masa selain dilengkapi bilik pembedahan, X-ray serta bilik khas bagi kemudahan ibu dan anak di kem pelarian Rohingya di Cox's Bazar, Bangladesh.

"Hospital Medan ini dibina bagi membolehkan pelarian Rohingya mendapatkan perkhidmatan rawatan perubatan termasuk pemeriksaan bagi ibu yang mengandung," katanya.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan