Mahathir Perlu Menginsafi Diri

Kuala Nerang - Tun Dr Mahathir Mohamad disifatkan sebagai seorang yang tidak berperasaan, malah sanggup menggunakan kaedah paling ekstrem untuk menghina musuh politiknya.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu sangat dikenali seorang yang apabila berkata-kata, tidak akan memikirkan perasaan orang lain.

Katanya, Dr Mahathir akan melabelkan sesiapa saja musuhnya, malah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, turut dilabelkan dengan perkataan yang tidak elok.

"Sudah menjadi amalan Dr Mahathir, beliau sanggup memberi kenyataan sedemikian dan itulah strateginya dalam pengucapan politik... itulah gaya Tun Mahathir namun pada kita (UMNO), itu cakap politik.

"Bekas Perdana Menteri itu seorang tidak mempunyai perasaan dan sebab itulah, apa juga yang diperkatakan beliau sama ada memberi kesan kepada masyarakat atau sebaliknya, ia tidak diambil peduli.

"Seharusnya dengan usianya yang melebihi 90 tahun, Dr Mahathir perlu menginsafi dirinya bukannya terus menggunakan cara politik lama iaitu apabila baik, didokong tetapi bila bermusuh, kaedah paling ekstrem digunakan," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas melawat keluarga bekas Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Padang Terap, Md Zain Saad di Kampung Baru, di sini hari ini.

Mahdzir diminta mengulas tindakan Dr Mahathir melabelkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai pengkhianat kerana bekerjasama dengan Perdana Menteri.

Mahdzir yang juga Menteri Pendidikan, berkata DAP dilabelkan musuh paling jahat dalam dunia apabila Dr Mahathir memimpin kerajaan selama 22 tahun.

"Namun, kini apabila Dr Mahathir baik dengan DAP... DAP lah yang paling disayangi. Beliau juga sayangkan (Ketua Ahli Parlimen DAP), Lim Kit Siang dan (Setiausaha Agung DAP) Lim Guan Eng.

"Tetapi nasib yang sama tidak berpihak kepada PAS kerana sejak Dr Mahathir dalam kerajaan sehinggalah menjadi pembangkang, beliau tetap bermusuh dengan PAS," katanya.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan