RCI Memali: `Tiada Maaf Untuk Mahathir'

Baling - Lebih 30 tahun tragedi berdarah Memali berlalu, namun keperitan memendam memori pahit menyaksikan suami dibunuh, kekal terpahat dalam sanubari Solehah Husain, 65.

Balu kepada Ibrahim Mahmud atau dikenali sebagai Ibrahim Libya itu tidak pernah berhenti mengharapkan pembelaan atas kematian suaminya dan penduduk kampung, yang menjadi mangsa tragedi kejam dan dituduh sebagai pengganas yang mahu menumbangkan kerajaan.

"Secara jujur, saya tidak akan memaafkan Tun Dr Mahathir Mohamad (Perdana Menteri ketika insiden Memali).

"Saya pasti, perkara sama juga dirasai semua mangsa yang kehilangan keluarga, termasuk yang tercedera.

"Jika bekas Perdana Menteri itu kembali menjadi pemimpin nombor satu negara, ia sesuatu yang sangat menyedihkan kerana Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) tragedi Memali pasti akan terkubur dan jika ditubuhkan sekali pun, ia pasti tidak telus.

"Keperitan yang saya dan semua mangsa lalui, sukar digambarkan.

"Jika Mahathir mahu memohon maaf dan datang sendiri ke Memali pun saya tidak akan benarkan beliau masuk ke rumah, apatah lagi bersemuka," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Memali, di sini, hari ini.

Solehah berkata, beliau juga tidak menyangka pakatan pembangkang boleh mencalonkan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri.

Katanya, tindakan itu akan menyebabkan sejarah buruk berulang.

"Sejarah Mahathir selaku Perdana Menteri amat teruk dan kini dicalonkan semula untuk menjadi Perdana Menteri.

"Mana mungkin 'pembunuh' boleh jadi Perdana Menteri...saya sangat terkejut dan rasa benci dengan Mahathir selepas apa yang berlaku kepada saya sekeluarga dan orang kampung.

"Sepatutnya rakyat janganlah terpedaya dengan lakonan Mahathir, janganlah sokong beliau. Apa yang sudah dilakukannya tidak dapat ditebus dengan perkataan maaf. Bagi saya, tiada maaf bagi mu," katanya.

Seorang mangsa yang terselamat selepas terkena tujuh das tembakan, Abdullah Che Soh, 71, mengakui setiap kali melihat parut pada tubuhnya, beliau berasa marah dan kecewa.

Mahu RCI Memali disegerakan, beliau adalah antara individu yang paling kuat mempertahankan Ibrahim Libya daripada ditahan kerana berasakan tindakan kerajaan ketika itu keterlaluan.

"Kesan tembakan iaitu empat di tangan, tiga di dada dan satu di pinggang membuatkan saya mahukan pembelaan.

"Bayangkan, saya terpaksa dirawat di Hospital Alor Setar dengan kedua-dua tangan digari pada katil, selain di lokap selama sebulan dan ditahan secara tidak sah selama lima bulan di Penjara Kamunting, Perak.

"Hanya melalui RCI kebenaran boleh terungkai. Jika saya dan mangsa tidak dapat pembelaan di dunia, kami akan tuntut di akhirat," katanya.

Abdullah berkata, RCI perlu dilakukan segera kerana ramai saksi kepada tragedi Memali itu sudah meninggal dunia dan yang hidup, semakin tua.

"Jika lambat, saya risau kebenaran yang dicari akan terjejas, malah Mahathir pastinya akan menggunakan peluang yang ada apabila menjadi Perdana Menteri jika pakatan pembangkang menang," katanya.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan