Umat Islam Usah Jadi Buih Di Lautan

Kuala Lumpur - Umat Islam wajar mengetepikan perbezaan ideologi untuk menangkis asakan pelbagai penjuru didalangi kuasa luar, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, 1.8 bilion umat Islam di seluruh dunia kini mewakili suara besar di pentas antarabangsa, namun hanya akan kelihatan sebagai buih di lautan jika sering bertelingkah sehingga mengundang perpecahan.

Katanya, langkah tuntas perlu diambil dalam mencari perdamaian susulan unjuran terbaharu menjangkakan jumlah umat Islam di dunia akan mencecah tiga bilion pada 2050.

"Kita akan mewakili 33 peratus daripada sembilan bilion penduduk dunia pada 2050, tetapi angka ini hanya akan dipandang sepi dan hilang ibarat buih yang dibadai angin laut.

"Satu demi satu asakan dihujani umat Islam, termasuk isu pengiktirafan Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel sehingga mengetepikan hak rakyat Palestin dalam menuntut kedaulatan negaranya.

"Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) menerusi resolusi yang disokong 128 negara bagaimanapun menolak tindakan Amerika Syarikat (mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel).

"Sedih apabila ada umat Islam yang menolak resolusi UNSC selepas menerima ugutan kuasa besar," katanya ketika menyampaikan tazkirah sempena majlis Mahabbah Rasulullah SAW 2018/1439H Parlimen Bukit Bintang, di Masjid Al-Bukhary, di sini, malam ini.

Zahid yang tiba pada jam 7.23 malam menunaikan solat maghrib berjemaah, diimamkan penceramah terkenal, Maulana Al-Sheikh Afeefuddin Al-Jailani.Tokoh Islam lain yang turut menyampaikan takzirah adalah Habib Ali Muhammad Al-Saggaf dan Habib Ali Zaenal Abidin Abu Bakar Al Hamid.

Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, tiada hadis atau nas al-Quran yang 'menghalalkan' perlakuan ekstremisme, sekali gus mencerminkan pemikiran radikal itu adalah bukan sebahagian daripada Islam.

"Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Masyarakat dunia memandang serong kepada Islam kerana tindakan segelintir umatnya yang mencipta pemikiran asing.

"Sehubungan itu, kita mempunyai tanggungjawab untuk memberi cerminan bahawa Islam adalah agama syumul dan rahmat kepada semua, berbanding mencetuskan ketakutan serta diselubungi pergerakan ekstremisme," katanya.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan