Hubungan Malaysia-Singapura Di Landasan Terbaik

Singapura - Datuk Seri Najib Razak menegaskan, Malaysia tidak mahu kembali kepada hubungan yang dingin dan retorik dengan Singapura, seperti yang pernah dialami sebelum ini.

Perdana Menteri berkata, kedua-dua negara sudah pasti mahu melupakan era terbabit dan tidak ingin sekali-kali kembali kepada situasi hubungan yang dingin.

"Kami percaya kedudukan kerajaan sekarang adalah kedudukan yang membawa manfaat bersama kepada kedua-dua negara.

"Kami sentiasa berpegang kepada dasar kami, agenda dan kemampuan untuk menyampaikan manfaat sebenar dan ketara kepada rakyat Malaysia serta Singapura," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama rakan sejawatnya dari Singapura, Lee Hsien Loong, selepas Sesi Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura Kelapan di sini hari ini.

Najib dan Lee menjawab soalan mengenai jaminan kerajaan kedua-dua negara bahawa Sistem Transit Rapid (RTS) dan Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) akan tetap diteruskan, sekiranya berlaku perubahan dalam persekitaran politik berikutan pilihan raya umum (PRU) yang akan diadakan di Malaysia.

Sementara itu Hsien Loong berkata, semua projek yang membabitkan lebih daripada sebuah negara dan memakan masa lebih daripada satu penggal pemerintahan, memerlukan komitmen jangka panjang.

"Komitmen itu diberi secara formal, manakala perjanjian yang ditandatangani antara dua kerajaan hari ini adalah suatu ikatan perjanjian yang akan terpakai, tanpa mengira siapa yang akan menjadi kerajaan di sebelah sana. Perjanjian ini perlu diteruskan," tegasnya.

Hsien Loong berkata, bagi pihak Singapura, pihaknya tidak mempunyai sebarang keraguan untuk melaksanakan apa yang dipersetujui dan ia menjadi komitmen bersama.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan