Calon BN Ditapis Tahap Integriti, Kesihatan

Kuala Lumpur - Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan semua calon Barisan Nasional (BN) yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan melalui proses tapisan integriti dan kesihatan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, tapisan itu akan dilakukan oleh unit khas dalam BN dengan mendapat bantuan daripada agensi berkaitan khasnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Katanya, integriti menjadi perkara utama yang diberi perhatian dalam pemilihan calon termasuk mengambil kira latar belakang mereka sama ada mempunyai rekod dalam kes rasuah, salah guna kuasa atau sahsiah yang bertentangan dengan perundangan.

"Dalam perkara ini, pengundi akan melihat personaliti seseorang itu (maka) ia (calon) mesti bersih. Seseorang calon bukan saja mesti bersih tetapi mesti kelihatan bersih.

"Kepada calon BN, biarpun negeri sudah menghantar sepenuhnya nama calon untuk kerusi Parlimen dan DUN, namun beberapa usaha tapisan terhadap integriti sedang dilakukan sepenuhnya.

"Ia termasuk tapisan dalam laporan kesihatan agar tidak berlaku pilihan raya kecil (PRK) dalam waktu terdekat selepas PRU.

"Kita ucapkan selamat tinggal (kepada calon yang gagal tapisan integriti)," katanya pada sidang media selepas merasmikan Diskusi Intelektual 'Membina Negara Bangsa Berintegriti' Dari Perspektif Institusi Pelbagai Agama dan Pendidikan anjuran Institut Integriti Malaysia (INTEGRITI), hari ini.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan