Penghantaran Pulang Rohingya Perlu Jaminan Keselamatan

Kuala Lumpur - Masyarakat dunia perlu menolak proses penghantaran pulang pelarian Rohingya ke barat Myanmar, yang dijadualkan minggu depan, selagi tiada jaminan keselamatan kepada kelompok pelarian itu.

Pengerusi Majlis Penasihat Kebangsaan Majlis Rohingya Malaysia (MRM), Tan Sri Syed Hamid Albar, berkata menyifatkan perjanjian di antara Kerajaan Bangladesh dan Myanmar itu mempunyai banyak kelemahan.

Beliau berkata, lebih 650,000 pelarian Rohingya yang kini berlindung di wilayah Coxs Bazar di Bangladesh, tidak seharusnya dihantar pulang secara paksa.

"Perjanjian (penghantaran pulang itu) banyak kelemahan. Kita tak mahu situasi sama (penghantaran pulang etnik Rohingya) pada 1970-an dan 1990-an berulang.

"Kalau nak buat juga, kena ada pemantauan dan perlindungan agensi antarabangsa," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Khas Jawatankuasa Rohingya Kebangsaan MRM di Dewan FELCRA di Setapak di sini hari ini.

Syed Hamid yang juga bekas wakil khas Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) ke Myanmar, berkata demikian ketika mengulas penghantaran semula pelarian Rohingya dari Bangladesh ke barat Myanmar yang akan bermula minggu depan.

Lebih 650,000 pelarian Rohingya yang tidak diiktiraf di Myanmar melarikan diri ke Bangladesh sejak 25 Ogos lalu selepas Tentera Myanmar menjalankan operasi berdarah di utara Rakhine (Arakan).

"Macam mana nak letak 30,000 orang (kumpulan pertama pelarian) dalam kem pelarian," kata Syed Hamid merujuk kepada rancangan Myanmar menempatkan pelarian Rohingya di kem pelarian di wilayah Rakhine ketika harta benda dan rumah mereka dibakar atau dirampas.

Syed Hamid yang juga bekas Menteri Luar, berkata Malaysia memainkan peranannya untuk menyelesaikan isu Rohingya yang membelenggu rantau ASEAN sejak sekian lama.

"Kita mahu main peranan bukan untuk menyalahkan Myanmar, tetapi peranan untuk membantu mereka menyelesaikan isu ini," katanya.

Ahli Majlis Penasihat Kebangsaan MRM, Tan Sri Jeneral (B) Azumi Mohamad, berkata sekiranya Myanmar benar-benar ikhlas dalam isu Rohingya, ia sepatutnya menjalankan cadangan diutarakan suruhanjaya diketuai Kofi Annan.

Katanya, ini termasuk menyelesaikan isu kerakyatan dalam kalangan pelarian Rohingya di negara bekas pimpinan junta itu.

 

Post Metro Online

Artikel Berkaitan