India Setuju Kaji Semula Duti Minyak Sawit

New Delhi - Kerajaan India pimpinan Narendra Modi memberi jaminan akan mengkaji semula keputusannya sebelum ini untuk menaikkan duti import minyak sawit mentah Malaysia daripada 15 peratus kepada 30 peratus.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata kenaikan itu tinggi dan beliau meminta kerajaan India mengkaji semula kadar berkenaan kerana ia akan memberi kesan kepada eksport minyak sawit mentah Malaysia.

"Dalam pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri Modi sebentar tadi, saya bangkitkan isu duti minyak sawit, selain juga kenaikan duti minyak kacang soya, minyak bunga matahari, namun kenaikan duti minyak sawit adalah tinggi.

"Jadi, saya minta kerajaan India lihat semula kadar kenaikan itu. Ini akan beri kesan kepada eksport sawit kita kerana India adalah pembeli kedua terbesar minyak sawit Malaysia," katanya pada sidang media di sini.

Hadir sama, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Kesihatan yang juga Presiden MIC, Datuk Seri Dr S Subramaniam.

Tahun lalu, kerajaan India mengumumkan menaikkan duti import minyak sawit mentah kepada 30 peratus daripada 15 peratus. India mengimport 2.5 juta tan minyak sawit mentah daripada Malaysia pada tahun lalu.

Pada sidang media sama, Najib mengumumkan IJM Corporation Bhd telah dianugerahkan projek pembinaan sebuah lebuh raya baharu di India bernilai AS$350 juta (RM1.4 bilion).

"Perdana Menteri Modi juga memberi jaminan akan terus mempertimbangkan syarikat Malaysia untuk membina lebih banyak lebuh raya di India.

Terkini, IJM dianugerahkan projek AS$350 juta. Ini perkembangan menggalakkan," katanya.

Perdana Menteri berkata, beliau juga memaklumkan kerajaan secara serius sedang mengkaji untuk menganugerahkan projek pembinaan laluan kereta api menghubungkan Seremban-Pelabuhan Klang kepada syarikat India, IRCON.

"Bagaimanapun, kita tetapkan syarat, iaitu tawaran itu boleh diterima kedua-dua pihak. Rundingan susulan akan dilakukan," katanya.

Najib berkata, beliau turut membuat permohonan kepada kerajaan India untuk menambah jumlah tempat duduk dalam pesawat bagi syarikat penerbangan Malaysia dan Modi membayangkan bandar kecil sebagai destinasi.

"Sejak lawatan terakhir saya ke India, April tahun lalu, kerajaan India telah meluluskan 1,861 tempat duduk tambahan kepada Malaysia dan hampir 99 peratus daripada tempat duduk tambahan itu sudah digunakan. Jadi saya minta tambahan," katanya.

Dalam pertemuan dengan Modi, Perdana Menteri juga meminta kerajaan India memberi kelulusan kepada kumpulan perbankan terbesar negara, Maybank untuk membuat cawangannya terus di republik itu.

Ketika ini, Maybank menggunakan anak syarikatnya di Indonesia, Maybank Indonesia untuk membuka cawangan di India.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan