Forum Kecoh: 'Orang Dalam' Didakwa Rancang

Shah Alam - Insiden kekecohan di forum 'Nothing to Hide 2.0' Ahad lalu didakwa dirancang oleh ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sendiri.

Pengarah Lojistik dan Gerak Gempur Keselamatan PPBM Bahagian Shah Alam, Wan Mohammad Ashraf Nasjaruddin, turut mendakwa beliau dijadikan sasaran urusetia dan penganjur forum berkenaan berikutan hampir terkena kerusi besi yang dibaling daripada tingkat atas Kompleks Belia dan Kebudayaan yang menjadi lokasi forum itu.

"Ketua Pemuda PPBM, Syed Saddiq Abdul Rahman cakap kerusi berkenaan disasarkan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad tetapi mengapa ia hampir mengenai saya yang berada jauh dari Dr Mahathir?

"Saya yakin ini semua perancangan orang dalam PPBM sendiri yang cuba menyekat saya daripada bertanya soalan kepada Dr Mahathir, kerana insiden berkenaan berlaku sebaik sahaja giliran saya untuk bertanya tiba," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di sini, hari ini.

Beliau berkata, keberaniannya yang sebelum ini membuat laporan mengenai kekayaan anak-anak pengerusi PPBM itu juga berkemungkinan menjadi punca beliau tidak dibenarkan bertanya soalan pada forum berkenaan.

"Saya juga mendesak Syed Saddiq untuk meletak jawatan sebagai Ketua Armada Pemuda PPBM kerana beliau tidak layak memegang jawatan berkenaan.

"Beliau gagal menjaga kebajikan ahli di bawahnya dan mengawal situasi sehingga timbul kekecohan pada forum berkenaan.

"Mereka cakap 'Nothing to Hide' tetapi semua mahu disembunyikan daripada ahli-ahli akar umbi yang menyokong perjuangan PPBM selama ini," katanya.

Wan Mohammad Ashraf berkata, beliau bersama 3,000 ahli yang dibawa masuk ke dalam parti itu, tiada perancangan untuk keluar daripada PPBM tetapi mereka akan menentang dari dalam sehingga Ketua Armada Pemuda PPBM itu meletak jawatan.

Ahad lalu, suasana forum itu menjadi tegang ketika Dr Mahathir menjawab soalan seorang hadirin yang bertanya sama ada sabitan kes liwat terhadap Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika era pentadbirannya adalah benar atau hanya bermotifkan politik.

Keadaan menjadi kecoh selepas audien yang meminta Dr Mahathir mengulas lanjut mengenai kejadian Memali di Kedah pada 1985 tidak berpuas hati dengan jawapan bekas Perdana Menteri itu.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan