Kerja Penembak Upahan

Teluk Intan - Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan kes tembak mati anggota polis di Kedah malam kelmarin, dilakukan penembak upahan dari negara luar

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, berdasarkan maklumat terkini, kes itu didalangi kumpulan kongsi gelap berikutan tindakan polis membanteras jenayah dan gerakan memburu golongan terbabit.

"Walaupun mungkin ada penembak upahan dari luar negara, namun dengan kerjasama MLA (Bantuan Perundangan Bersama) dan kerjasama perkongsian maklum balas perisikan, kita akan mencari hingga kita memperoleh, menangkap dan membawa pihak terbabit ke muka pengadilan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Teluk Intan di Dewan Bandaran Teluk Intan di sini, hari ini.

Malam kelmarin, detektif Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Sub Inspektor Abu Hashim Ismail, 54, mati ditembak dekat Taman Hosba, Changlun, Kedah.

Sambil mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham, Ahmad Zahid akan memastikan bantuan sewajarnya diberikan kepada keluarga

Katanya, Allahyarham menunjukkan komitmen tinggi terhadap tugas walaupun bercuti ketika kejadian.

Katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus komited menurunkan indeks jenayah walaupun risiko yang terpaksa dihadapi pasukan dan setiap anggotanya.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan