Isu MBI-Jana Niaga: Khalid Sedia Kerjasama Dengan SPRM

Shah Alam - Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim terkejut dan kecewa dengan keputusan Kerajaan Selangor mempertimbangkan kontrak baharu dengan Jana Niaga Sdn Bhd (JNSB).

Bekas Menteri Besar Selangor itu berkata, ini kerana Universiti Selangor (UNISEL) tidak terikat dengan apa-apa tindakan undang-undang membabitkan isu berkenaan.

Katanya, sepanjang menghadapi masalah itu ketika menjadi Menteri Besar, beliau sentiasa konsisten dengan keputusan menamatkan kontrak dengan JNSB.

"Saya juga berpegang teguh bahawa UNISEL dan Kerajaan Selangor tidak dapat menerima tuntutan syarikat itu termasuk tawaran untuk mengambilalih hutang bank JNSB," katanya menerusi satu kenyataan, semalam.

Abdul Khalid yang bersedia memberi kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika perlu, berkata isu itu sedikit sebanyak mencemarkan nama baik institusi Kerajaan Selangor.

"Apabila media melaporkan tindakan SPRM menyerbu pejabat UNISEL, JNSB dan Menteri Besar Diperbadankan (MBI), saya rasa lebih baik jika berdiam diri. Namun, terdapat pelbagai tuduhan di media sosial dan soalan daripada media.

"Sebagai Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor dan bekas Menteri Besar, saya rasa bertanggungjawab membetulkan fakta untuk mengelak kekeliruan," katanya.

Abdul Khalid berkata, pada 2011, iaitu lapan tahun selepas dianugerahkan kontrak terbabit, bangunan kemudahan penginapan dibina JNSB mengalami kerosakan teruk sehingga mengancam keselamatan pelajar.

Katanya, UNISEL kemudian berhenti membayar kepada JNSB dan pada 2012, syarikat itu gagal menyelenggara asrama terbabit sebelum membawa pertikaian ke mahkamah.

"Kes kemudian ditangguhkan Mahkamah Tinggi Shah Alam kerana ada klausa timbang tara dalam kontrak. Pada 2 Julai 2013, Mahkamah Rayuan menolak rayuan JNSB.

"Saya difahamkan tiada prosiding timbang tara difailkan oleh JNSB terhadap UNISEL sehingga hari ini," katanya yang turut memperincikan kronologi isu berkenaan.

Kenyataan Abdul Khalid turut memperincikan kronologi isu berkenaan, iaitu:

2003 - JNSB dianugerah kontrak untuk membina, menjalankan operasi, menyelenggara dan mengurus kemudahan penginapan pelajar dan kakitangan UNISEL.

2011 - bangunan kemudahan penginapan didapati mengalami kerosakan teruk dari segi pembinaan asas dan kejuruteraan sehingga boleh mengancam keselamatan pelajar dan kakitangan. UNISEL kemudian berhenti membuat bayaran kepada JNSB.

2012 - JNSB gagal untuk menyelenggara asrama itu. JNSB kemudian membawa pertikaian dengan UNISEL ke mahkamah.

7 Disember 2012 - Mahkamah Tinggi Shah Alam menangguhkan kes itu kerana terdapat klausa timbang tara dalam kontrak yang ditandatangani yang menuntut pertikaian perlu dibawa ke proses timbang tara dan bukannya mahkamah. JNSB membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi.

2 Januari 2013 - bangunan kemudahan penginapan pelajar terpaksa dikosongkan. Pelbagai usaha selaras dengan kontrak dengan JNSB dilaksanakan untuk menyelesaikan isu-isu ini. Bagaimanapun, usaha itu tidak menghasilkan penyelesaian yang memuaskan.

2 Julai 2013 - Mahkamah Rayuan menolak rayuan JNSB. Keputusan itu bermakna jika JNSB mahu meneruskan pertikaian itu, ia perlu membawanya ke timbang tara dan bukan mahkamah.

2013 - kontrak dengan JNSB ditamatkan akibat kemungkiran JNSB namun syarikat itu mempertikaikan penamatan kontrak itu.

Mac 2014 - JNSB membawa pertikaian kepada Jawatankuasa Penyelesaian Pertikaian yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Selangor. Namun, tiada penyelesaian dicapai sehinggalah Abdul Khalid meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan