SPRM Panggil Pegawai Kanan Menteri Besar Selangor

Putrajaya - Pengarah Komunikasi Strategik, Pejabat Menteri Besar Selangor, Yin Shao Loong, hadir di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kira-kira jam 10 pagi tadi untuk memberi keterangan.

Pegawai terbabit dipanggil bagi memberi keterangan berhubung siasatan terhadap Universiti Selangor (UNISEL) berikutan serbuan di premisnya di Shah Alam dan Bestari Jaya baru-baru ini.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Simi Abd Ghani, ketika dihubungi mengesahkan kehadiran Shao Loong dan proses mengambil keterangan beliau bergantung kepada maklumat diberikan.

Simi berkata, siasatan SPRM merangkumi isu pembayaran oleh Menteri Besar Diperbadankan (MBI) kepada Jana Niaga Sdn Bhd (JNSB) bagi projek UNISEL.

Pada 22 Ogos lalu, kerajaan negeri Selangor menyifatkan tindakan SPRM menyerbu ketiga-tiga premis berkenaan sebagai usaha mencemarkan imej kerajaan negeri itu.

Serbuan SPRM itu difahamkan adalah bagi mendapatkan maklumat dan dokumen berhubung pembayaran RM16 juta oleh MBI kepada JNSB yang menjalankan kerja penyelenggaraan kediaman pelajar di Kampus Induk UNISEL Bestari Jaya.

MBI dipercayai membuat bayaran kepada JNSB menerusi dua transaksi iaitu RM10 juta pada 2015 dan RM6 juta lagi pada 2016 selain wujud dakwaan JNSB mendapat pampasan kewangan dan kontrak baharu daripada UNISEL walaupun gagal menyempurnakan kontrak sedia ada.

Dalam satu kenyataan bersama sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif MBI, Raja Shahreen Raja Othman dan Naib Canselor merangkap Presiden UNISEL, Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman, berkata keputusan itu selaras dengan keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan bahawa pertikaian terbabit tidak perlu dirujuk di mahkamah.

Sebaliknya, ia dirujuk kepada jawatankuasa penyelesaian pertikaian atau melalui proses timbang tara seperti yang terkandung dalam perjanjian konsesi dimeterai antara UNISEL dan JNSB.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan