Bubar Persatuan Persahabatan Malaysia Myanmar Tanda Protes

Kuala Lumpur - Persatuan Persahabatan Malaysia Myanmar yang ditubuhkan lebih dua dekad lalu, akan dibubarkan sebagai tanda protes rakyat kepada kerajaan Myanmar di bawah kepemimpinan Aung San Suu Kyi yang gagal menangani keganasan berterusan terhadap masyarakat Rohingya.

Pemangku Presidennya, Datuk Mustapha Yaakob, berkata satu mesyuarat agung khas untuk membubarkan persatuan itu akan dilakukan segera selepas notis mesyuarat khas dikeluarkan hari ini.

Beliau berkata, ahli jawatankuasa persatuan akan menaja penubuhan Persatuan Solidariti Rakyat Malaysia-Rohingya yang akan membantu mempertahankan hak masyarakat Rohingya di Malaysia dan Myanmar.

Katanya, pembubaran persatuan itu sebagai satu protes terhadap kegagalan Suu Kyi menunjukkan perikemanusiaan dan ketamadunan apabila membiarkan pembunuhan kanak-kanak, wanita dan orang tua yang tidak berdosa.

"Watak kepemimpinan Suu Kyi jelas melambangkan seorang yang berpersonaliti `bukan manusia' (inhuman) dan `sudah kehilangan naluri kemanusiaan' dengan membiarkan pembunuhan jiwa kanak-kanak, wanita lemah dan orang tua yang tidak melakukan apa-apa dosa kepada negara dan bangsa Myanmar.

"Mereka disiksa dan dibunuh hanya kerana beragama Islam," katanya dalam kenyataan hari ini.

Persatuan Persahabatan Malaysia Myanmar yang diasaskan 23 tahun lalu, banyak mengadakan program dalam meningkatkan hubungan sosio ekonomi antara kedua negara.

Mustapha yang juga Presiden Penaja Persatuan Solidariti Rakyat Malaysia-Rohingya, berkata persatuan berpendapat tiada erti lagi untuk rakyat Malaysia meneruskan persahabatan dengan negara dipimpin Suu Kyi.

Katanya, Suu Kyi langsung tidak peduli dengan suara dunia yang menyatakan prihatin dan bantahan terhadap tindakan tidak berperikemanusiaan tentera Myanmar yang melanggar hak kemanusiaan dan membunuh dengan sewenang-wenangnya.

"Sebelum dibubarkan, persatuan akan menasihat semua ahli yang selama ini dibantu dan digalakkan menjalankan kegiatan hubungan ekonomi dan sosial dengan rakan mereka di Myanmar supaya menggantung semua kegiatan mereka sehingga wujud perubahan dan tindakan positif kerajaan Myanmar dalam isu Rohingya," katanya.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan