Pesta Arak: Polis Hanya Beri Ulasan Kepada MPK

Shah Alam - Polis Klang Utara hanya memberi ulasan kepada satu permohonan lesen hiburan untuk majlis yang dirancang dianjurkan di bangunan Centro Mall di Klang, bukan untuk penganjuran pesta arak.

Ia berikutan surat diterima daripada Majlis Perbandaran Klang (MPK) memohon ulasan bagi satu permohonan lesen hiburan di bawah kategori pertunjukan wayang, karaoke, pentas dan lounge.

Ketuanya, Asisten Komisioner Mazelan Paijan, berkata pihaknya memang ada menerima surat daripada MPK yang memohon ulasan bagi satu permohonan lesen hiburan (pertunjukan wayang/karaoke/pentas/ lounge).

"Polis memberi sokongan atas tajuk lain (bukan untuk Oktoberfest) kerana tanggungjawab polis hanya menyokong atau tidak sesuatu permohonan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebagai maklum balas kepada surat MPK itu, beliau berkata, polis sudah menjawab surat berkenaan seperti kenyataan EXCO Pelaburan Perindustrian (IKS), Perdagangan dan Pengangkutan Selangor, Datuk Teng Chang Khim seperti tersebar di media sosial.

Chang Khim sebelum ini memaklumkan, kelulusan permohonan penganjuran pesta makanan dan minuman Jerman yang membabitkan minuman keras di Centro Mall pada 12 dan 13 Oktober ini, diluluskan MPK dan bukan oleh kerajaan negeri.

Naib Pengerusi DAP Selangor itu juga dipetik berkata, permohonan turut mendapat sokongan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara melalui surat bertarikh 14 September lalu.

Mazelan berkata, Polis Klang Utara sama sekali tidak menyokong sebarang penganjuran program yang menggugat ketenteraman awam dan kesejahteraan masyarakat keseluruhan.

Sebelum ini, Yang Dipertua MPK, Datuk Mohamad Yasid Bidin dilaporkan berkata, pihaknya membenarkan penganjuran festival berkenaan selepas penganjur mematuhi syarat ditetapkan.

Antara syarat itu, penganjur perlu mendapatkan lesen menyediakan minuman keras daripada Pejabat Tanah dan Daerah Petaling serta pengesahan polis, selain tidak membenarkan orang Islam menghadirinya.

Post Metro Online

Artikel Berkaitan